PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2011

BELIA TAMIL JOHOR LAKAR SEJARAH BARU

LEDANG – Persatuan Belia Tamil Johor melakar sejarah apabila diberikan kepercayaan untuk mengadakan persembahan J-Robik sempena Festival J-Robik peringkat Negeri di Dataran Ledang Tangkak, baru-baru ini.

Pengerusinya, G Ganesh berkata, sekalung penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana membuka peluang kepada kaum India untuk lebih menonjol dengan menubuhkan kumpulan J-Robik.

Menurutnya, dengan penubuhan tersebut membolehkan ahli persatuan yang majoritinya terdiri daripada golongan belia untuk mengadakan persembahan sempena karnival tersebut.

“Lebih bermakna lagi apabila persembahan kali ini turut disertai oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan wakil rakyat seluruh daerah Ledang.

“Kesudian Menteri Besar menyertai pertunjukan J-Robik semestinya dinantikan oleh rakyat yang mahu pemimpin sentiasa mendekati rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau sentiasa menggalakkan belia Tamil menyertai aktiviti berfaedah yang mampu membentuk jati diri belia di sini.

“Inisiatif menubuhkan persatuan ini adalah sebagai tanda sokongan kepada konsep Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Melalui konsep ini, belia-belia di negara ini sentiasa proaktif dan peka untuk menyertai setiap program yang diadakan oleh kerajaan demi kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata, secara tidak langsung dengan pendedahan belia dalam program berkenaan yang melibatkan pelbagai bangsa akan dapat memperkukuhkan semangat perpaduan rakyat di negara ini.

Selain itu, komitmen yang ditonjolkan oleh belia India melalui program tersebut sangat dikagumi kerana mereka berjaya menterjemahkan konsep Gagasan 1Malaysia yang direncanakan kerajaan.

“Sekurang-kurangnya dengan penyertaan aktiviti ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat.

“Belia merupakan bakal pemimpin pada masa hadapan dan mereka perlu dibimbing serta didedahkan dengan aktiviti yang dapat membentuk keperibadian yang tinggi sebagai seorang pemimpin,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN 03 OGOS 2011

Tiada ulasan: