TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

23 Ogos 2011

JIHAD DEMI KEMBANGKAN ISLAM

LEDANG – Berpegang kepada prinsip ‘Jika kita sayang ALLAH, kita kena sayangkan pejuang Islam’ telah mendorong Pengasas Kosmetik Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim menyumbang bakti membina sebuah bangunan di Madrasah Tahfiz An-Nuur, Kesang Laut, di sini.

Selesa memilih jalan berjihad untuk Islam serta mementingkan kejayaan yang seimbang di dunia dan akhirat merupakan desakan utamanya mendapat keberkatan ALLAH di sebalik kejayaan perniagaan yang dia miliki pada hari ini.

Maka dengan sebab itu, Rozita ingin berkongsi kemewahan yang dimiliki atas kurniaan dari ALLAH dengan jalan yang diredai menerusi pembinaan bangunan yang dikenali sebagai Asyraful Madaris.

Rozita berkata, beliau menyumbangkan bangunan berkenaan selepas tertarik dengan pendekatan yang digunakan oleh madrasah tersebut.

Tambahan pula katanya, pengetua dan guru-guru di sini terdiri daripada kalangan penghafaz al-Quran.

“Sebenarnya jauh dari sudut hati ingin membina madrasah yang mana sebelum ini saya ada membina masjid.

“Tetapi selepas melihat madrasah ini ditambah pula 50 pelajar perlu berkongsi satu tandas telah menguatkan naluri saya untuk membantu membina bangunan madrasah,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan bangunan itu kelmarin.

Beliau berkata, dengan tarikan modul pelajaran di sini mendorongnya tanpa teragak-agak untuk menghantar dua anaknya menuntut di situ hampir dua tahun lalu.

Namun, Rozita sangat kagum apabila anak-anaknya yang sudah terbiasa dengan kemewahan mengalami perubahan ketara ke arah kebaikan dalam tempoh lima bulan selepas menuntut di situ.

“Dengan harapan menghantar anak di sini, mereka boleh menyelamat saya di dunia dan akhirat.

“Selain hendak berjuang di jalan jihad, saya infakkan madrasah ini dengan harapan guru-guru di sini boleh mendidik anak saya dan juga anak bangsa lain,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Madrasah, Noor Effendi Hamid Al-Hafiz berkata, beliau sangat berterima kasih kepada Rozita kerana banyak membantu memudahkan operasi madrasah itu.

“Bantuan ini membolehkan madrasah menampung 200 pelajar di sini yang sentiasa bertambah setiap tahun.

“Madrasah yang sudah berusia 11 tahun ini berjaya melahirkan 70 hafiz al-Quran dan mereka telah melanjutkan pengajian ke Mesir, Jordan dan Syria,” katanya.

Noor Effendy berkata, kitab suci al-Quran sangat penting dalam diri anak-anak kecil terutamanya yang sedang membina diri kerana pada seawal ini jika mereka dicas dengan al-Quran mereka akan selamat walaupun berada di tempat yang hebat dugaannya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 23 OGOS 2011

Tiada ulasan: