PENGUNJUNG SETIA

30 Ogos 2011

KEMPEN KESELAMATAN DIPERHEBAT

LEDANG - Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang memperhebatkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Aidilfitri termasuk memperketatkan kawalan keselamatan jalan raya di beberapa lokasi di daerah Ledang.

Pelancaran kempen itu bagi Aidilfitri tahun ini dilangsungkan di Tol Tangkak dengan memberikan cenderahati kepada pengguna jalan raya.

Kempen tersebut bertujuan untuk menyemai rasa tanggungjawab bagi memberi kesedaran dan mengubah sikap segelintir pemandu yang cuai ketika memandu sehingga mengundang padah kepada pengguna jalan raya yang lain.

Pada masa yang sama, usaha tersebut juga menurunkan jumlah angka kemalangan jalan raya yang dilihat sentiasa meningkat pada setiap kali musim perayaan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung halaman pada Aidilfitri diingatkan supaya sentiasa amalkan formula 3K iaitu kelajuan, kesabaran dan kecergasan setiap kali.

Menurutnya, pengguna perlu mengamalkan pemanduan mengikut had laju ditetapkan, bersabar setiap kali hendak memotong kenderaan dan dapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan yang jauh.

“Kecuaian memandu ketika meraikan Aidilfitri di kampung menjadi antara punca utama peningkatan jumlah kemalangan maut serta kecederaan parah setiap kali musim perayaan berkenaan.

“Masalah ini dipercayai berlaku akibat sikap sambil lewa masyarakat termasuk mengabaikan keselamatan setiap kali memandu untuk menziarahi saudara dan rakan terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihak mengharapkan jumlah pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya akan berkurangan kerana statistik itu menunjukkan peningkatan ketika hari perayaan terutamanya membabitkan penunggang motosikal.

“Ini berlaku kerana ada di antara kita yang masih mengabaikan keselamatan termasuk gagal mengenakan tali pinggang keledar serta tidak memakai topi keledar,” katanya.

Berikutan itu orang ramai diingatkan supaya mengamalkan cara pemanduan berhemah, memakai tali pinggang keledar serta sentiasa mengenakan topi keledar tidak kira ke destinasi jauh atau dekat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Rancang perjalanan lebih awal untuk mengelakkan orang ramai daripada memandu secara tergesa-gesa bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.

Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang juga mengedarkan borang rumah selamat kepada penduduk daerah Ledang.

“Orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman boleh mendaftar dalam borang ini bagi membolehkan pihak polis memantau rumah ini semasa ketiadaan mereka daripada menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN 30 OGOS 2011

Tiada ulasan: