PENGUNJUNG SETIA

16 Ogos 2011

TUJUH DICEKUP TIDAK BERPUASA

LEDANG – Tujuh lelaki dicekup pihak penguat kuasa Agama Ledang setelah didapati tidak berpuasa dan makan di tempat awam secara terbuka pada bulan Ramadan dalam Operasi Ops Ramadan, semalam.

Manakala seorang lagi yang dicekup merupakan peniaga kerana menjual makanan kepada orang Islam.

Mereka ditahan dalam operasi Ops Ramadan di tiga lokasi berbeza yang diketuai Ketua Operasi Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang, Mohamad Zainal Kadiran bersama empat anggota yang lain.

Operasi yang berlangsung hampir empat jam itu berakhir pada jam 11 pagi tertumpu di tiga lokasi ‘panas’ iaitu kedai makan di Bukit Kangkar Sungai Mati, Serom 3 dan Sengkang Batu 19, Bukit Gambir.

Bagaimanapun, dalam serbuan di Sengkang Batu 19 suasana bertukar sedikit panas apabila tiga lelaki bertindak agresif ketika cuba ditahan pihak penguat kuasa, namun mereka berjaya melarikan diri.

Mohamad Zainal berkata, ketika serbuan kesemua yang ditangkap sedang leka menikmati sarapan pagi di kedai milik bukan Islam.

Menurutnya, serbuan dilakukan selepas menerima banyak aduan dan disusuli dengan pemantauan di lokasi yang terlibat.

“Mereka yang ditahan dalam operasi pada bulan Ramadan kali ini kebanyakannya berusia di antara 40 hingga 65 tahun.

“Antara alasan yang sering mereka berikan apabila ditahan iaitu kerana tidak tahan di sebabkan melakukan kerja berat, sakit dan juga tidak bersahur,” katanya kepada :Sinar Harian.

Beliau berkata, makan pada siang hari ketika Ramadan adalah satu kesalahan, lebih-lebih lagi di tempat awam secara terbuka.

Katanya, pihaknya sentiasa mengadakan rondaan terutamanya pada Ramadan bagi mencegah kesalahan jenayah yang melanggar syariah termasuklah gejala maksiat.

“Oleh itu, diharap masyarakat akan memberi kerjasama kepada kami untuk sama-sama mencegah jenayah yang berlaku di persekitaran mereka.

“Sepatutnya, kesucian Ramadan, tidak dicemari dengan kegiatan seperti ini sebaliknya disinari dengan amal ibadah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, mereka yang ditahan akan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 15 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dan Seksyen 15 (b) enakmen yang sama yang boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 16 OGOS 2011

Tiada ulasan: