PENGUNJUNG SETIA

24 Ogos 2011

KENAL PASTI GOLONGAN KELUARGA SUSAH

LEDANG – Pemimpin-pemimpin di setiap kampung termasuk imam, ketua kampung dan ketua cawangan diminta supaya mengenal pasti keluarga-keluarga yang hidup dalam kesusahan di kawasan mereka.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, dengan turun padang di setiap ceruk kampung membolehkan mereka mengesan kumpulan terdesak itu dan seterusnya diberikan bantuan dengan segera.

Menurutnya, usaha tersebut untuk memastikan penduduk miskin mendapat pembelaan yang sewajarnya sejajar dengan misi kerajaan menerusi konsep Gagasan 1Malaysia.

“Bagi pemimpin yang terlepas pandang dengan kewujudan sebahagian kecil penduduk miskin di kawasan mereka perlu diberikan perhatian segera.

“Mereka ini perlu dibantu untuk didaftarkan di Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Jasa Prihatin dan sumbangan Amanah Raya Berhad di Pusat Pengembangan al-Quran Tangkak, di sini.

Beliau berkata, menerusi bantuan sedemikian sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat di Tangkak.

“Walaupun kadar kemiskinan tegar di Tangkak tiada, tetapi kita perlu memberikan penumpuan yang lebih kepada usaha mengatasi masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat.

“Pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan dalam kalangan rakyat sejajar dengan hasrat kerajaan menjadi negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Hamim berkata, penduduk juga dinasihatkan agar tidak berasa malu untuk tampil bagi mengemukakan masalah kesempitan hidup mereka kepada pemimpin setempat bagi mendapatkan bantuan.

“Kami juga menyasarkan bantuan yang akan disalurkan kepada penduduk miskin dapat disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri dan hujung tahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kesedihan dengan tindakan segelintir pemimpin beragama Islam yang sanggup menggunakan isu agama semata-mata untuk mendapatkan sokongan daripada orang bukan Islam.

“Tindakan sedemikian sangat memalukan kerana secara tidak langsung menjatuhkan martabat Islam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Amanah Raya Berhad, Azilah Sohud berkata, acara tahunan itu akan diteruskan bagi membantu golongan miskin menyambut Aidilfitri.

“Peranan Amanah Raya ialah sebagai pemegang amanah untuk menjaga kepentingan harta pihak yang meninggal dunia sebelum diagih-agihkan kepada penerima yang layak.

“Pihak Amanah Raya menasihati orang ramai agar membuat wasiat terlebih dahulu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Difahamkan, Hamim turut menyumbangkan jubah kepada 124 imam masjid di daerah Ledang.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 24 OGOS 2011

Tiada ulasan: