TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2011

PADI ANGIN JEJASKAN 100 PETANI

Oleh Junita Mat Rasid dan Mohamad Farid Noh
bhjb@bharian.com.my


LEDANG: Kira-kira 100 petani yang mengusahakan kira-kira 300 hektar sawah sekitar Sawah Ring dan Bukit Gambir di sini, berdepan masa depan suram apabila berdepan masalah benih padi angin yang menjejaskan pendapatan mereka hingga lebih 50 peratus.

Masalah yang dikesan sejak kira-kira tiga tahun lalu itu semakin ketara pada musim penuaian padi kali ini, apabila ramai petani mengeluh padi angin itu menyebabkan hasil tuaian semakin merosot.

Petani mendakwa jika masalah itu tidak diatasi dengan segera dan berterusan, tidak mustahil seluruh kawasan sawah padi yang berlatar belakang Gunung Ledang itu, akan musnah dalam tempoh 10 musim akan datang.
Mereka mendakwa masalah padi angin tidak pernah berlaku sebelum ini dan dipercayai berpunca daripada pencemaran benih padi yang mengandungi padi angin.

Di kawasan sawah dipenuhi padi angin, hasil tuaian merosot berkali ganda setiap musim berikutan padi angin dikatakan mampu bertahan sehingga lima tahun dan akan tumbuh apabila petani membajak dan menanam benih padi baru.

Dalam sektor pertanian padi angin merujuk kepada rumpai merbahaya kerana sukar dikesan kerana ia menyerupai padi sebenar. Padi angin disifatkan lebih merbahaya daripada rumput sambau jika tidak dikawal dari awal. Difahamkan ketika ini belum ada racun rumpai yang boleh mengawal padi angin tanpa menjejaskan padi biasa.

Tumbuhan itu boleh menyebabkan kerugian hasil kerana padi yang sepatutnya dituai sudah relai terlebih dulu di antara 10 hingga 20 hari sebelum matang.
Serangan padi angin pada tahap 35 peratus akan menyebabkan jumlah penurunan hasil meningkat kepada 50 hingga 60 peratus, seterusnya kualiti padi dan beras yang terhasil akan terjejas.

Petani, Bakar Kasbi, 52, berkata benih padi angin akan tumbuh dengan selari dengan padi yang ditanam sebelum mencatatkan pertumbuhan lebih cepat dan pokok lebih tinggi berbanding biasa.

Katanya, padi angin juga akan masak lebih cepat dan mudah gugur sebelum pokoknya juga tumbang dan merosakkan padi yang lain, sekali gus mengurangkan hasil tuaian.

“Jika sebelum ini saya mampu mendapat hasil sehingga lebih dua tan padi bagi kawasan tanaman seluas 0.4 hektar tetapi kini hasil saya hanya menjangkau kira-kira satu tan padi sahaja berikutan masalah padi angin,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta supaya pihak berkuasa menjalankan tindakan segera bagi memastikan kawasan sawah di kampung itu tidak terus dicemari dengan benih angin.

Petani, Ahmad Khidir Sanip, 35, berkata ketika ini kira-kira 50 peratus sawah padi di Kampung Sawah Ring sudah dicemari padi angin menyebabkan petani kehilangan sumber pendapatan.

Katanya, jika masalah padi angin itu tidak dikawal dengan segera, tidak mustahil semua kawasan sawah di kampung itu akan rosak teruk dan menjejaskan pendapatan penduduk.

SUMBER: BERITA HARIAN, 03 OGOS 2011

1 ulasan:

antashabailefthanded berkata...

bakar kasbi ayah saye.... sian dulu lumayan jugak.. mcm mane prg atas boleh serah padi yg takde kualiti... ade yang terlepas pandang atau kes nak byk untung pun tak tahu la.. tapi ia ttp menaniaya petani.. bayangkan kos ayah saye ulang alik dari bakri ke sawah... dengan hasil tuaian amat mendukacitakan kami anak2 petani