TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

10 Ogos 2011

LAHIRKAN GENERASI CEMERLANG


Pelajar Kolej Matrikulasi Johor memasak bubur lambuk dalam Program Khidmat Masyarakat di Sekolah Kebangsaan Parit Kasan dekat Bukit Gambir, Muar, baru-baru ini.


LEDANG 9 Ogos – Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) mengadakan Program Khidmat Masyarakat dan Kembara Berbasikal di Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), di sini baru-baru ini.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan merapatkan hubungan antara penuntut KMJ dengan masyarakat khususnya murid-murid.

Pengarah KMJ, Sasman Yasir berkata, program itu dirancang untuk menjalinkan hubungan yang berterusan antara kedua-dua pihak dengan konsep untuk membina kecemerlangan pendidikan bagi melahirkan lebih ramai generasi cemerlang.

Menurutnya, jalinan yang dibentuk itu diharap dapat membantu melonjakkan kecemerlangan murid-murid tersebut dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pihak KMJ sentiasa bersedia membantu ke arah mencapai matlamat berkenaan.

“Kami bersedia membantu program pendidikan sama ada membabitkan murid, guru dan ibu bapa semata-mata untuk mencapai matlamat yang dirancang.

‘‘Murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan pula dapat menumpukan sepenuh masa dan tidak mengecewakan harapan ibu bapa dan guru,” katanya pada program itu.

Program disertai 80 penuntut termasuk 40 peserta berbasikal itu mengadakan pelbagai program bersama 100 murid tahun empat hingga enam sekolah itu.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk senaman J-Robik, latihan dalam kumpulan, memasak bubur lambuk, membuat kuih tradisional masyarakat Jawa dan menghasilkan mural di dinding sekolah itu.

Guru Besar SKPK, Nik Fauziah Nik Yusoh pula memuji usaha yang dilakukan KMJ dan berharap golongan berkenaan menjadi contoh kepada murid sekolah itu untuk mencapai kecemerlangan diri khususnya dalam UPSR nanti.

“Kami berharap usaha murni ini dapat diteruskan demi mengekalkan hubungan silaturrahim yang dijalin bukan saja antara murid dan penuntut malah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Hubungan dua hala ini menjadi pencetus semangat kepada murid-murid untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan mereka pada peringkat awal dan diteruskan pada masa depan,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 10 OGOS 2011

Tiada ulasan: