PENGUNJUNG SETIA

29 Ogos 2013

5 MAUT PULANG ZIARAH KEMATIAN REMPUH TRELER

Oleh Mohamed Farid Noh; Shaiffulazhar Misri


Ledang: Lima sekeluarga maut, manakala tiga lagi parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang berhenti di bahu jalan, di Bukit Kangkar di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, pemandu Toyota Avanza, Jasilah Othman, 43; kakaknya, Rokiah, 62 serta ibu saudara mereka, Ramlah Bakar, 66, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi kakak Jasilah, Mahani, 56, dan suami Rokiah, Basiron Kasiran, 74, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Tiga mangsa kritikal

Kemalangan itu turut menyebabkan tiga anak Mahani, Siti Hajar Abd Rahim, 30; Siti Norain, 23 dan Siti Nor Syuhada, 20, cedera parah dengan keadaan Siti Hajar dilaporkan kritikal kerana patah tengkuk.

Kejadian dipercayai berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah Rokiah di Parit Bakar, Muar, selepas menghadiri majlis pengebumian saudara mereka di Kuantan, Pahang, malam kelmarin.

Kenderaan hilang kawalan

Ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu Jasilah, dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan.

Rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan Toyota Avanza remuk teruk dan kebanyakan mangsa dipercayai tersepit di tempat duduk mereka.

Maut di tempat kejadian

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, berkata tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat.

"Dua lagi mangsa meninggal dunia di HPSF, manakala tiga yang parah dalam kemalangan itu dirawat di hospital sama," katanya.

Harun berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 dan meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat supaya menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah mayat hospital berkenaan dengan dipenuhi ahli keluarga dan kenalan mangsa yang berkumpul di situ sejak tengah hari sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

SUMBER: BH 29 OGOS 2013

Tiada ulasan: