Oleh Basir Zahrom
Ledang: Seramai 32 pelajar Kolej Komuniti Ledang dan lima pensyarah menyertai Ekspedisi Mendaki Gunung Ledang, barubaru ini.
Mereka
dari Unit Servis Penyejukan dan Penyamanan Udara, Pengarah Program,
Ahmad Naufal Majudin, berkata ekspedisi itu bertujuan memupuk semangat
kerjasama dalam kalangan pelajar lama dan baru pelbagai kaum.
Katanya,
semangat berpasukan penting untuk menghadapi aktiviti mencabar di
samping memberi kesedaran kepada pelajar dan pensyarah mengenai
pentingnya mengekalkan kecerdasan tubuh badan.
Nikmati keindahan
Beliau berkata, peserta ekspedisi itu mengambil kesempatan menerokai setiap khazanah yang tersembunyi di Gunung Ledang di samping menikmati keindahan alam semula jadinya.
"Pendakian kami bermula seawal 9 pagi disusuli dengan pelbagai halangan seperti tanah lembap, cerun curam dan batu licin.
"Bagaimanapun,
dengan azam kuat, semua peserta ekspedisi berjaya menawan puncak gunung
itu pada pukul 2.30 petang hari yang sama.
"Ekspedisi ini berjaya mencapai matlamatnya dan peserta mendapat manfaat.
"Semoga semangat setia kawan dan tidak mudah berputus asa yang diterapkan dalam ekspedisi ini terus berkekalan," katanya.
Lapan hentian
Peserta
ekspedisi perlu melalui lapan hentian iaitu Bukit Semput, Legenda
Trail, Batu Orkid, Kolam Gajah, Sungai Tiga Segi, Gua Kambing, Bukit
Botak dan Gunung Ledang.
Pelajar
semester akhir, Servis Penyejukan dan Penyamanan Udara, Norhazmie
Jumadi, berkata walaupun ekspedisi berkenaan meletihkan, kepenatan itu
sangat bermakna kerana berjaya menawan puncak Gunung Ledang.
"Ekspedisi ini menjadi kenangan manis sebelum saya meninggalkan kolej kerana gunung ini terkenal dengan legenda Puteri Gunung Ledang," katanya.
Rakannya, Muhammad Atif Sham Shol Arifin, berkata ekspedisi itu benar-benar menguji ketahanan dan kekuatan fizikal serta mental.
"Awalnya, saya hampir putus asa dan tiada keyakinan untuk menawan puncak Gunung Ledang.
"Namun, kata perangsang oleh rakan dan pensyarah membolehkan saya menamatkan cabaran," katanya.
SUMBER: BH VARSITI, 08 OGOS 2013
Collaboration request
7 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan