PENGUNJUNG SETIA

07 Ogos 2013

EMPAT TERKEPUNG

Oleh Shaiffulazhar Misri


Ledang: Seorang lelaki yang baru dibebaskan daripada tahanan mengikut Akta Ordinan Darurat (EO) 1960 antara yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Paya Mas, di sini, selepas polis menemui parang serta pistol mainan dipercayai untuk digunakan bagi melakukan jenayah, pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Harun Idris berkata, keempat-empat lelaki terbabit ditahan dalam sekatan jalan raya pada jam 1.30 pagi di depan Kolej Matrikulasi Sagil.

"Kami menahan kereta dinaiki empat suspek terbabit sebelum pemeriksaan pada kenderaan itu menemui dua parang panjang, sepucuk pistol mainan, dua topeng muka, tujuh telefon bimbit dan wang tunai RM1,230.

"Siasatan mendapati, mereka dalam perjalanan ke Segamat untuk memecah masuk rumah dan semua suspek tidak sempat bertindak kerana enam anggota kami sudah mengepung kereta mereka," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam.

Menurut Harun, suspek yang ditahan berusia 20, 28, 32 dan 38 tahun dan berasal dari Tangkak serta mempunyai rekod jenayah lampau.

Harun berkata, bekas tahanan EO itu berusia 32 tahun dan mempunyai empat rekod jenayah lampau di Tanjung Minyak dan Jasin, Melaka.

"Suspek berusia 28 tahun pula pernah dipenjarakan enam bulan kerana melakukan kesalahan di Tangkak pada 2011.

"Suspek ketiga berusia 38 tahun, juga bekas banduan dan terbabit dalam dua kes dadah di Labis serta Johor Bahru Selatan, manakala suspek keempat yang berusia 20 tahun pula dikehendaki atas kesalahan dadah di Tangkak pada 2012," katanya.

Harun berkata, semua suspek positif dadah jenis heroin dan kini direman.

SUMBER: HARIAN METRO, 07 OGOS 2013

Tiada ulasan: