PENGUNJUNG SETIA

31 Ogos 2013

REMAJA PERKOSA KEKASIH FACEBOOK

LEDANG 30 Ogos - Akibat gagal mengawal nafsu, seorang remaja lelaki bertindak merogol teman wanita yang baru dikenalinya sebulan lalu menerusi laman sosial Facebook di sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Gambir dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam pada 12 Ogos lalu apabila pasangan itu keluar bersiar-siar pada waktu siang.

"Ketika dalam perjalanan pulang untuk menghantar kekasihnya yang berusia 15 tahun ke rumah di sebuah kampung di Bukit Gambir, remaja berkenaan yang berumur 18 tahun mengajaknya singgah di kebun itu sebelum merogol mangsa.

"Atas desakan keluarga, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Gambir pukul 10 pagi pada 27 Ogos lalu, iaitu 16 hari selepas kejadian itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Susulan laporan tersebut, polis menahan suspek di rumah keluarganya di Kampung Parit Jarum Laut pada pukul 6 petang semalam.

"Polis turut merampas motosikal yang dipercayai digunakan suspek pergi ke kebun kelapa sawit berkenaan untuk merogol mangsa," katanya.

Harun berkata, mangsa masih bersekolah di Bukit Gambir, manakala remaja lelaki itu bekerja di sebuah bengkel basikal di pekan berkenaan.

"Selepas berkenalan dalam Facebook, mereka menjadi pasangan kekasih dan sering bertemu sebelum kejadian berkenaan," katanya.

Beliau memberitahu, suspek kini direman hingga 5 September depan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur.

Harun menasihatkan remaja perempuan supaya tidak mudah mempercayai kenalan yang baharu dikenali menerusi laman sosial bagi mengelak mereka diperdaya dan menjadi mangsa rogol.

"Sebaik-baiknya keluar secara beramai-ramai dan berada di tempat awam bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 OGOS 2013

Tiada ulasan: