LEDANG - Jelajah Kembara Mahkota Johor 2013, yang memasuki hari kedua semalam, disambut meriah dengan pelbagai pengisian acara menarik sepanjang dua jam Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar singgah ke daerah ini sebelum meneruskan perjalanan ke Segamat.

Tuanku dilihat begitu tertarik dengan pameran yang terdapat di tapak pameran Jabatan Pertanian Ledang yang memperkenalkan Pertanian Bandar Akuaponik.

Baginda meluangkan masa selama 10 minit di tapak pameran mendengar penerangan daripada Pegawai Jabatan Pertanian Ledang, Abdullah Rashidi, mengenai kaedah tanaman tersebut.

Abdullah berkata, tanaman yang menggunakan konsep 4T iaitu Tanam, Ternak, Tinggal dan Tuai itu telah lama diperkenalkan tetapi tidak mendapat pendedahan meluas daripada masyarakat.

“Ia amat praktikal, berkualiti tinggi, selamat dan menjimatkan kerana tidak melibatkan sebarang penggunaan racun serangga juga baja kimia.

“Bekas fiber bersaiz 51 inci menjadi sebagai batas tanaman yang dibuat dalam bentuk dua tingkat di  mana, bahagian atas adalah  tanaman pokok, manakala di bawahnya pula ternakan ikan,” katanya.

Menurutnya, tanaman itu yang pertama di negeri ini menggunakan hidrotone iaitu sejenis bebola diperbuat daripada tanah liat yang dikeringkan berfungsi sebagai tanah.

Jelasnya, air ternakan ikan atau udang akan naik ke bahagian atas (tanaman) menerusi pam air yang dipasang bagi membekalkan nutrien yang diperlukan pokok menerusi najis ikan berkenaan.

Tambahnya, pelbagai jenis sayur-sayuran sesuai ditanam menggunakan kaedah ini termasuk umbisi seperti keladi kerana hidrotone mampu bertahan sehingga 10 tahun membolehkan tanaman diusahakan dalam tempoh yang panjang.

Kaedah tanaman itu mirip dengan tanaman hidroponik, bezanya, hidroponik menggunakan baja, sedangkan akuaponik menggunakan bahan organik daripada najis ternakan ikan atau udang.

SUMBER: SINAR HARIAN, 26 OGOS 2013