PENGUNJUNG SETIA

02 Ogos 2013

UMNO LEDANG BANTU 3,000 PENDUDUK KURANG BERNASIB BAIK

ABDUL Ghani Othman menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima sumbangan di Masjid Al-Azim, Kampung Simpang Lima Darat, Bukit Gambir di Ledang, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 1 Ogos - Pelbagai sumbangan dalam bentuk makanan dan kewangan berjumlah RM100,000 disalurkan UMNO Bahagian Ledang kepada 3,000 penerima yang terdiri daripada golongan kurang bernasib baik sempena Aidilfitri kali ini.

Ketuanya, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bantuan berkenaan ialah sumbangan syarikat korporat, agensi kerajaan dan individu yang ingin membantu meringankan golongan tersebut.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, bantuan itu untuk meringankan beban golongan tersebut terutamanya yang miskin selain memastikan mereka tidak terpinggir.

"Saya bersyukur kerana jumlah bantuan yang diterima tahun ini melimpah ruah. Saya diberitahu, selain bantuan wang, kita juga dapat mengagihkan 700 kampit beras kepada golongan miskin kali ini," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita sebelum menyampaikan bantuan itu kepada golongan miskin, anak yatim dan ketua cawangan UMNO dalam bahagian Ledang di Masjid Al-Azim, Kampung Simpang Lima Darat, Bukit Gambir, dekat sini baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau menyertai majlis khatam al-Quran dan tadarus sempena Nuzul al-Quran di masjid berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Ahli Parlimen Ledang.

Abdul Ghani berkata, walaupun beliau tidak lagi menjawat jawatan kerajaan setelah 18 tahun memimpin negeri itu, tetapi beliau akan tetap memberi perhatian terhadap UMNO Bahagian Ledang.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa gembira atas pelantikan Hamim sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan menyifatkannya sebagai satu jawatan yang amat penting untuk ekonomi negara.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 OGOS 2013

Tiada ulasan: