TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

31 Ogos 2013

BN KEKAL 2 PARLIMEN, 2 DUN




Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) mengekalkan dua kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor selepas Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi kawasan itu.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hamim Samuri kekal sebagai Ahli Parlimen Ledang, manakala Normala Abdul Samad kekal di Parlimen Pasir Gudang. Dr Zaini Abu Bakar pula mengekalkan kemenangan di DUN Nusajaya dan M Asojan di DUN Gambir.
Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan apabila mengemukakan petisyen menerusi ejen calon, bukan peguam atau calon itu sendiri selain tidak mempunyai fakta atau butiran mencukupi bagi menyokong petisyen berkenaan.

Gagal patuhi peraturan

Pempetisyen juga didapati gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Serentak itu, setiap pempetisyen diperintah membayar kos masing-masing RM30,000 kepada Hamim dan Normala serta responden kedua dan ketiga, iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan terbabit dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi DUN Nusajaya, mahkamah memerintahkan pempetisyen membayar kos, masing-masing RM25,000 kepada Dr Zaini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR, manakala dalam kes membabitkan DUN Gambir, pempetisyen diarah membayar kos pada nilai sama kepada Asojan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR.

BN diwakili peguam, Syed Faizal Syed Abdullah dan Mohd Reza Abu Hassan, manakala responden kedua dan ketiga diwakili Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy. Pihak pempetisyen pula diwakili peguam Muhammad Yazid Mohamad Salim dan Rohana Ramli.

SUMBER: BH, 31 OGOS 2013

Tiada ulasan: