PENGUNJUNG SETIA

02 Ogos 2013

NMR BERYANI GAM DIIKTIRAF GERAI BERSIH

LEDANG 1 Ogos - Bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan peniaga bazar Ramadan untuk menjaga kualiti dan keselamatan makanan yang dijual, Majlis Daerah Tangkak (MDT) dan Pejabat Kesihatan Ledang menganjurkan pertandingan Gerai Bersih Bazar Ramadan 2013.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MDT, Muhammad Sidek Arasu Abdullah berkata, pertandingan hasil cetusan idea Yang Dipertua MDT, Ab. Han Ramin itu julung kali diadakan malah menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negeri ini yang menganjurkannya.

"Kriteria yang diguna pakai dalam pertandingan berkenaan ialah berkaitan kualiti dan keselamatan makanan, kebersihan pengendali makanan dan kebersihan gerai. Selain itu, kesopanan peniaga serta keceriaan dan kekemasan gerai turut diambil kira dalam pertandingan yang melibatkan tiga bazar Ramadan kelolaan MDT.

"Bazar tersebut adalah di Jalan Naib Long, di Tangkak; Jalan Gambir 7, di Bandar Bukit Gambir dan Taman Tun Syed Nasir, di Tanjung Agas," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Bazar Ramadan di Jalan Naib Long, di sini kelmarin.

Penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri merangkap Ahli Parlimen Ledang dan turut diiringi Ab. Han yang juga Pegawai Daerah Ledang.

Gerai NMR Beryani Gam Johor milik peniaga Mohamed Raup Atan dipilih sebagai Johan Gerai Bersih Bazar Ramadan Tangkak manakala naib johan gerai kepunyaan K. Mohd. Hussin Kattubawa dan ketiga gerai yang diusahakan Azizah Ramli.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 OGOS 2013

Tiada ulasan: