Keadaan Toyota Avanza yang remuk teruk selepas melanggar lori kontena
LEDANG - Perjalanan pulang lapan sekeluarga dari menghadiri majlis pengebumian saudara di Kuantan, Pahang, Selasa lalu bertukar tragedi apabila lima daripadanya terbunuh selepas terlibat dalam nahas di Batu 8, Bukit Kangkar, Jalan Muar-Tangkak, dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dengan sebuah lori kontena.

Mangsa  maut di tempat kejadian adalah pemandu Toyota Avanza, Jasilah Othman, 43; kakaknya Rokiah, 62; serta ibu saudara mereka, Ramlah Bakar, 66.

Manakala, dua lagi yang maut ialah kakak Jasilah, Mahani, 56; serta Basiron Kasiran, 74, (suami Rokiah).

Bagaimanapun, tiga lagi penumpang iaitu Siti Hajar Abdul Rahim, 30; Siti Nor Ain dan Siti Nor Suhada terselamat meskipun mengalami kecederaan parah dengan salah seorang daripadanya dilaporkan kritikal.

Kemalangan ngeri itu dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu Jazila menghala ke Muar dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah treler yang terletak di bahu jalan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan MPV tersebut remuk teruk di bahagian hadapan dan kesemua mangsa dipercayai tersepit di tempat duduk masing-masing.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Dua lagi mangsa meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) ketika mendapatkan rawatan dan tiga yang cedera turut mendapat rawatan di hospital berkenaan.

Sementara itu, Pengarah HPSF Dr Selahudeen Abdul Aziz  berkata, sehingga jam 6 petang semalam, mangsa, Siti Hajar masih berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Dia (Siti Hajar) masih berada di ICU. Manakala dua lagi mangsa yang terselamat  dilaporkan stabil.

“Kita akan buat pemantauan rapi untuk mengetahui perkembangan semasa semua mangsa,” katanya.

Kesemua mangsa yang maut dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Amat, Parit Jawa, Muar. selepas solat Asar, kira-kira jam 5.30 petang hari yang sama.

SUMBER: SINAR HARIAN, 29 OGOS 2013