LEDANG – Seorang warga emas terselamat apabila rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dihuninya ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Serom 5 Hulu, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika hujan lebat dan pokok berkenaan tumbang tepat mengenai bahagian ruang yang menempatkan Saodah Kesot, 74 yang sedang tidur.

Anak saudaranya, Ezah Majid, 42, melahirkan rasa syukur dan merasakan ia satu keajaiban apabila ibu saudaranya yang terkenal dengan panggilan Wak Minok terselamat kerana bahagian rumah yang dihempap pokok itu mengalami kerosakan teruk.

Menurutnya, kejadian tersebut disedari sepupunya apabila terdengar bunyi kuat seperti pokok tumbang dari arah rumah Wak Minok.

“Sepupu yang terkejut melihat kejadian itu terus memanggil ayah yang merupakan abang kepada Wak Minok.

“Ayah segera ke rumah Wak Minok dan menemuinya sedang bersembunyi di satu sudut bahagian rumah yang tidak terjejas,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Wak Minok tinggal di rumah itu sendirian kerana tidak mempunyai cahaya mata meskipun pernah tiga kali mendirikan rumah tangga.

Ezah berkata, Wak Minok ada masalah mental sejak kanak-kanak dan masalah tersebut juga membuatkannya selesa tinggal sendirian di rumah berkenaan yang dibina bersebelahan dengan rumah bapanya.

Sementara itu, Pegawai JKM Ledang, Ab Gani Ab Bakar berkata, JKM mengambil langkah proaktif memberikan segera bantuan baik pulih rumah warga emas terbabit sebanyak RM5,000 hasil sumbangan kerajaan negeri.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 OGOS 2013