PENGUNJUNG SETIA

16 Oktober 2008

AJAL ANAK SEKELIP MATA

Ajal anak sekelip mata

Oleh Zalifah Mohd Yatim

MUAR:
“Saya baru beberapa minit hantar Kirah (Nurul Syakirah) balik ke rumah selepas dia selesai mengaji. Saya terkejut apabila menerima panggilan dia terbabit kemalangan,” kata Ibrahim Dol, 48, bapa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang maut dalam kemalangan di Batu 22, Sengkang di sini, kira-kira jam 6.20 petang semalam.

Kirah, 5, dipercayai melintas jalan kerana hendak mengikut abang keduanya berusia tujuh tahun yang berbasikal sebelum dilanggar sebuah kereta menghala ke arah Pekan Sengkang.

Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Rumah Mayat Hospital Tangkak.

Ibrahim berkata, Kirah biasanya tidak bermain di luar pagar rumah tetapi agak pelik kerana pada hari kemalangan, kali pertama dia pergi mengaji membonceng basikal abangnya.

“Apabila mengetahui dia pergi mengaji naik basikal dengan abangnya, saya pergi ambil arwah kerana bimbang akan keselamatannya.

“Sudah sampai ajalnya, beberapa minit selepas memastikan arwah selamat, dia terbabit juga dalam kemalangan ketika melintas jalan hendak mengikut abangnya yang berbasikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Ibrahim turut diberitahu perkara pelik ketika mengambil arwah pulang mengaji. “Saya masih teringat kata-kata terakhir arwah ketika membonceng motosikal yang mendakwa nampak tengkorak lembu di belakang rumah jiran guru mengajinya.

“Lima tahun lalu, arwah lahir saya dukung untuk diqamatkan tetapi hari ini, saya dukung dalam keadaan lain. Sampai sini amanah yang diberikan Allah, saya reda,” katanya.

Arwah satu-satunya anak perempuan lima beradik itu dikebumikan bersebelahan kubur datuk dan neneknya di Tanah Perkuburan Islam di Sengkang.

Sehari sebelum arwah meninggal dunia, dia terkejut apabila anaknya duduk memerhatikannya yang tidur bersama isteri selepas tengah malam. “Bila terjaga saya lihat dia sedang memerhatikan saya dan isteri yang sedang tidur,” katanya.

Arwah walaupun masih kecil seorang yang bertanggungjawab kerana jika tersedar pada waktu pagi akan mendodoikan adiknya yang berusia enam bulan tanpa mengejutkan kedua-dua ibu bapa.
Katanya, kejadian itu disedari selepas anak lelaki kedua yang bersama Nurul Syakirah tergamam sebelum berlari masuk ke dalam rumah untuk memaklumkan kepada ibunya.

“Saya sedang berurusan untuk menjual kambing dengan kenalan terkejut apabila dimaklumkan dia terbabit dalam kemalangan dan terus bergegas balik,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai tidak sempat melintas jalan untuk pergi berdekatan abangnya sebelum dilanggar sebuah kereta yang dalam perjalanan menghala ke Pekan Sengkang, dekat sini.

SUMBER: HARIAN METRO, 16 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: