PENGUNJUNG SETIA

14 Oktober 2008

KEJAR TAHANAN ATAS BUMBUNG

Kejar tahanan atas bumbung

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

TANGKAK: Selama dua jam, seorang lelaki yang ditahan mengikut Ordinan Darurat dengan tangan bergari cuba meloloskan diri daripada polis dengan memanjat pagar, menaiki bas, memasuki rumah orang tidak dikenali dan memanjat bumbung.

Mohamad Fitri Himsam Abd Rahim, 22, yang menjalani tahanan di Pusat Tahanan Taiping, Perak dibawa ke sini bagi menghadiri sebutan dua kes dihadapinya iaitu samun dan menyamar anggota polis pada 15 Oktober tahun lalu.

Sebaik sebutan kesnya ditangguhkan di Mahkamah Majistret di sini, pagi semalam, dia yang hanya berkaki ayam memanjat pagar di tepi bangunan untuk melarikan diri kira-kira jam 10.40 pagi.

Lelaki itu yang diawasi pegawai Jabatan Penjara dipercayai meluru keluar menghala ke pintu utama ketika mahu dibawa ke lokap mahkamah.

Kemudian, dia menuju ke tepi bangunan mahkamah sebelum memanjat pagar dan menyelinap ke taman perumahan berhampiran.

Mohamad Fitri dikatakan menyembunyikan tangannya yang bergari dalam pakaian dan dipercayai menaiki bas menuju ke sebuah taman perumahan di Sagil dekat sini, kira-kira lapan kilometer dari mahkamah.

Setiba di taman perumahan terbabit, dia mengetuk pintu sebuah rumah didiami Ramlah Mohamad, 49.

Menurut Ramlah, pintu rumahnya diketuk sebelum dibuka cucunya, Siti Aishah Abd Talib, 5, yang berada di ruang tamu bersama ayahnya.

Katanya, sejurus pintu dibuka, seorang lelaki yang tidak dikenali meminta kebenaran menggunakan tandas untuk membuang air kecil.

“Lelaki itu terus masuk ke tandas sebelum memanjat bumbung rumah hingga menyebabkan berlaku sedikit kerosakan apabila menyedari kehadiran polis,” katanya yang terkejut dengan kejadian terbabit.

Polis mengejar lelaki terbabit di atas bumbung sebelum dapat menahannya atas bumbung sebuah rumah kos rendah dua tingkat di Taman Sri Jaya 2, Sagil, dalam operasi diketuai Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Hanafi Kasiran dengan diiringi 20 pegawai dan anggota serta dibantu enam pegawai Jabatan Penjara.

Dalam kejadian itu, Pegawai Penyiasat Balai Tangkak, Inspektor Jamell Abdul Halim cedera ringan di kaki kiri dan terseliuh tangan selepas terjatuh dari bumbung.

Dia diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tangkak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Lee Choon Guan, mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menahan semula lelaki itu kira-kira jam 12.40 tengah hari di sebuah taman perumahan di Sagil.

Katanya, lelaki itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Muar, hari ini, mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melarikan diri daripada pengawasan ketika berada dalam tahanan yang sah mengikut undang-undang.

Seorang pengawal keselamatan mahkamah dikenali sebagai Ahmad yang berada di luar pos kawalan segera menutup pintu pagar utama sebaik mendengar jeritan.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu memanjat pagar di tepi bangunan berhampiran deretan rumah kedai.

Dia serta beberapa pegawai polis dan Jabatan Penjara cuba menangkapnya, tetapi gagal.

SUMBER: HARIAN METRO, 14 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: