HARI RAYA MASA TERBAIK PUPUK KEMBALI PERPADUAN
UMAT Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri hari ini dalam suasana politik dan ekonomi yang kurang baik berbanding tahun-tahun lalu. Namun itu bukan alasan untuk kita tidak mencari hikmah kemeriahannya.
Ini kerana, Hari Raya merupakan waktu yang terbaik untuk kita mengeratkan perpaduan sesama umat Islam malah hubungan antara kaum tanpa mengira perbezaan budaya dan politik.
Inilah juga masa untuk kita merapatkan kembali barisan ummah sekiranya ada berlaku perpecahan atau perselisihan sama ada di dalam kampung, parti dan sebagainya.
Umat Islam dan masyarakat bukan Islam patut mengambil peluang perayaan ini untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama masih tetap hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu. Perselisihan pendapat hanya di kalangan ahli-ahli politik dan penyokongnya dan ia tidak menjejaskan semangat muhibah majoriti rakyat.
Semasa kita merayakan Hari Raya Aidilfitri ini, kita seharusnya menggunakan kesempatan yang ada untuk bertemu dan saling bermaaf-maafan bagi menyambung dan mengikat persahabatan baru, memeriahkan musim perayaan, menyemai rasa persahabatan yang lebih akrab, toleransi dan saling memahami semasa berkunjung ke rumah terbuka.
Hari Raya boleh dijadikan wadah berkesan dalam penjanaan perpaduan di kalangan umat Islam.
Mengekal dan mengeratkan perhubungan silaturahim sesama umat Islam adalah dituntut oleh agama Islam.
Islam telah menggariskan betapa umat yang bersatu padu bukan sahaja kuat tetapi melambangkan Islam itu adalah agama perpaduan.
Oleh itu, di hari mulia ini eloklah kita saling bersalaman dan bermaaf-maafan, tingkatkan semangat muhibah dan ukhuwah sesama sendiri.
Satu daripada amalan yang sangat digalakkan umat Islam melakukannya ialah ziarah untuk meningkatkan rasa muhibah dan mempereratkan silaturahim.
Pemimpin negara banyak kali menyeru umat Islam supaya mengekalkan hubungan baik dan mengelak daripada terlibat dengan anasir-anasir yang meretakkan kesatuan umat, kerana perpecahan adalah satu perkara yang dilarang dalam Islam.
Segala peristiwa pahit dan permusuhan sesama sendiri yang melanda umat Islam di negara lain harus dihindari agar perpaduan di kalangan rakyat dapat terus diperkukuhkan.
Kita mencari perpaduan dan bukannya perpecahan di kalangan umat Islam. Islam menuntut kita supaya meningkatkan tali persaudaraan dan bertolak ansur di antara satu sama lain.
Sebenarnya parti politik hanyalah untuk membolehkan pilihan dibuat tentang siapa yang dianggap layak untuk menjadi pemimpin baik di peringkat cawangan, bahagian hingga negeri dan negara.
Selepas pemilihan dibuat, rakyat perlu kembali hidup bersama sebagai umat yang satu. Fahaman politik tidak sepatutnya menjejaskan persaudaraan kita sebagai orang Islam.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 1 OKTOBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan