Puteri UMNO Ledang calon Shahaniza-Nolee
MUAR 12 Okt. - Puteri UMNO Bahagian Ledang mencalonkan Ketua Penerangan Puteri, Datuk Shahaniza Samsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah, Nolee Ashilin Radzi untuk bertanding jawatan Ketua dan Naib Ketua sayap parti itu pada pemilihan Mac tahun depan.
Pemilihan kedua-dua calon itu dibuat pada mesyuarat perwakilan Puteri UMNO Bahagian itu yang dihadiri 83 perwakilan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini hari ini.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, Fahariyah Md. Nordin berkata, pemilihan Shahaniza dan Nolee Ashilin adalah berdasarkan keyakinan Puteri bahagian itu bahawa kedua-dua pemimpin tersebut mampu dan komited dalam melaksanakan tugas masing-masing.
"Puteri UMNO Ledang yakin dengan kemampuan kedua-dua calon itu untuk memimpin jentera sayap parti pada masa akan datang," kata ahli Exco Puteri UMNO ini yang akan mempertahankan jawatannya.
Sementara itu, kata Fahariyah, tiada pertandingan diadakan bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Puteri UMNO bahagian itu pada mesyuarat perwakilan hari ini yang dirasmikan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.
Berikutan itu, Fahariyah terus mempertahankan jawatan Ketua Puteri UMNO bahagian, manakala jawatan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian masih dipegang oleh Siti Aminah Wahab.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA 13 OKTOBER 2008
1 ulasan:
All the best, puteri!
Catat Ulasan