PENGUNJUNG SETIA

28 Oktober 2008

GAJI LUMAYAN TARIK RAKYAT MALAYSIA

Gaji lumayan tarik rakyat Malaysia

PULUHAN ribuan kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan di Tambak Johor setiap hari bukan lagi menjadi fenomena luar biasa di laluan pintu masuk antara Malaysia dan Singapura.

Seawal pukul 5 pagi, deretan kenderaan mula bergerak perlahan-lahan setelah melepasi pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Malaysia untuk ke pusat pemeriksaan yang sama di sebelah Singapura sejauh kira-kira 12 kilometer.


M. ASOJAN

Menurut statistik, dianggarkan antara 80,000 hingga 100,000 rakyat Malaysia, khususnya yang tinggal di sekitar bandar raya Johor Bahru sanggup berulang-alik setiap hari untuk mencari rezeki di republik itu.

Bagi merasai kesesakan dan pengalaman warganegara Malaysia yang bekerja di Kota Singa itu, wartawan Utusan Malaysia ARIF NIZAM ABDULLAH dan jurugambar, NOORADZRENE MOHD. NOOR meninjau laluan itu baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 27 Okt. – Kerajaan Negeri Johor tidak menafikan tawaran gaji lumayan merupakan faktor utama lebih 80,000 rakyat Malaysia sanggup berulang-alik bekerja di Singapura setiap hari.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan berkata, kadar tukaran mata wang Malaysia dan Singapura turut menarik minat rakyat tempatan mencari pekerjaan di republik itu.

Beliau berkata, kedua-dua faktor itu menyebabkan golongan terlibat sanggup berulang-alik setiap hari antara kedua-dua negara walaupun terpaksa membuang banyak waktu di perjalanan.

“Penggunaan tenaga buruh di Singapura tidak mencukupi dan negara jiran itu perlu bergantung kepada tenaga buruh dari Malaysia.

“Sebagai tarikannya, mereka menawarkan gaji yang lebih lumayan dan faktor gaji memainkan peranan penting selepas menjadi kekangan untuk rakyat Malaysia bekerja di negara sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas punca rakyat negara ini lebih berminat bekerja di Singapura.

Asojan berkata, statistik Jabatan Tenaga Rakyat negeri menunjukkan antara 80,000 hingga 100,000 rakyat negara ini berulang-alik ke Singapura setiap hari manakala lebih 150,000 orang yang bekerja di negara berkenaan.

Menurutnya, para pekerja itu sanggup bangun awal pagi dan meredah kesesakan teruk lalu-lintas di Tambak Johor dan akhirnya kembali di rumah mereka pada lewat malam.

“Hasil kajian juga mendapati faktor ibu bapa yang bekerja di Singapura merupakan antara punca yang menyumbang kepada pelbagai masalah sosial di kalangan remaja di negeri ini. Apakah erti keluarga bahagia sekiranya waktu bersama anak-anak terpaksa dikorbankan demi mencari gaji yang lumayan?

“Bayangkan terdapat pekerja yang berulang-alik dari Masai dan perlu mengambil masa pergi ke Singapura melebihi dua jam. Sedangkan terdapat banyak peluang pekerjaan di kawasan perindustrian di tempat sendiri yang menawarkan gaji sekitar RM1,200 berbanding gaji di Singapura sebanyak RM2,000 tetapi tidak mempunyai masa bersama keluarga,” ujarnya dalam nada kesal.

Asojan optimis jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dapat dikurangkan dalam tempoh dua tahun akan datang dengan pelaksanaan pembangunan di Iskandar Malaysia yang bakal mewujudkan kira-kira 800,000 peluang pekerjaan baru.

“Ini bukan cakap kosong seperti di awal perancangannya kerana sehingga kini, peringkat awal projek pembangunan Iskandar Malaysia bernilai RM6 bilion sudah dilaksanakan dan mula mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

“Saya berharap peluang besar ini akan direbut oleh pekerja mahir, separuh mahir dan buruh untuk bekerja di Johor Bahru,” katanya dan pada masa sama kerajaan negeri akan terus mengadakan Karnival Pekerjaan ke seluruh daerah bagi membuka peluang kepada pencari pekerjaan.

“Harapan saya agar rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mempunyai semangat patriotik tinggi untuk menyumbang tenaga dan jasa di tanah air sendiri,” ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: