PENGUNJUNG SETIA

20 Oktober 2008

PENGGUNA MINTA TNB TURUN KADAR TARIF ELEKTRIK

Johor: Pengguna minta TNB turun kadar tarif elektrik

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bhariancom.my

Caj baru sejak Julai wajar dikurang sejajar harga petrol terkini

MUAR: Pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah di bandar ini, meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menurunkan segera kadar tarif elektrik yang didakwa membebankan pengguna, selaras dengan langkah kerajaan menurunkan harga runcit petrol.

Mereka mendakwa kadar baru yang berkuat kuasa sejak Julai lalu itu, membebankan pengguna sehingga ramai penghuni kediaman tidak memasang lampu di beranda rumah pada waktu malam, bagi mengelak membayar bil tinggi.

Pesara kerajaan, Faridah Mohd Amin, 52, mendakwa kadar tarif baru itu juga mengelirukan, kerana caj penggunaan dikenakan berperingkat bermula 0.300 sehingga 0.410 mengikut unit.

Beliau berkata, berbanding kadar tarif lama yang dikenakan kepada pengguna domestik yang bermula dengan 0.218 bagi 200 unit ke bawah dan 0.289 unit berikutnya.

"Kenaikan kadar caj yang ketara dan berbeza itu juga membingungkan pengguna, kerana seolah-olah menyekat mereka daripada menggunakan peralatan moden di rumah termasuk mesin pencuci, alat penghawa dingin dan komputer.

"Sekiranya penggunaan elektrik terus disekat, boleh menggagalkan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, kerana mereka akan kekal di tahap lama dengan menggunakan bahan tradisional bagi urusan harian di rumah masing-masing," katanya di sini, semalam.

Pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS), dari Bukit Gambir, Salina Sulaiman, 37, berkata penggunaan peralatan moden yang menggunakan kuasa elektrik termasuk dalam bidang perusahaan boleh membantu menjana ekonomi penduduk luar bandar.

Bagaimanapun, katanya, caj elektrik yang tinggi menimbulkan kesukaran kepada pengusaha untuk meningkatkan pengeluaran produk, kerana bimbang membayar bil lebih tinggi berbanding dengan keuntungan produk yang dipasarkan.

“Sehubungan itu, TNB tidak seharusnya mencari alasan untuk menurunkan kadar tarif elektrik, kerana kenaikan yang dikuatkuasa sebelum ini, berdasarkan kenaikan harga bahan api di pasaran global.

"Kini harga minyak global jatuh ke paras di bawah AS$72 setong, manakala kerajaan pula menurunkan harga petrol dan diesel antara 15 sen hingga 20 sen seliter, baru-baru ini," katanya.

Suri rumah, Zaleha Yusuf, 54, turut bersetuju dengan saranan supaya TNB mengkaji semula kadar caj penggunaan elektrik sekarang kerana tarif yang dikenakan kepada pengguna itu terlalu membebankan.

Beliau berkata, agak tidak munasabah pengguna dapat mengehadkan penggunaan tidak melebihi 200 unit, bagi mendapat pelepasan daripada membayar bil.

"Ini kerana semua peralatan moden sekarang termasuk yang digunakan bagi tujuan memasak makanan dan keperluan harian menggunakan kuasa elektrik.

"Caj elektrik yang tinggi juga menyebabkan sebahagian besar rumah penduduk terutama penghuni kawasan perumahan awam tidak memasang lampu di beranda pada waktu malam," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 OKTOBER 2008

Tiada ulasan: