Penulis terlantar menderita angin ahmar
MUAR 10 Okt. - Seorang penulis sambilan yang pernah bergiat aktif menghasilkan catatan sejarah mengenai Muar dalam pelbagai akhbar dan majalah dahulu, kini terlantar sakit di rumahnya di Taman Mawar, Jalan Abdul Rahman di sini sejak empat tahun lalu.
Setiap hari Aris Md. Tahir, 71, hanya terbaring akibat menderita pelbagai penyakit termasuk angin ahmar, gastrik, kencing manis dan darah tinggi sejak tahun 2004.
Beliau kini tidak mampu untuk bangun dan terpaksa dibantu oleh isteri, Ramlah Dalhar, 68, untuk menguruskan diri sendiri.
"Saya bersyukur kerana walaupun diserang penyakit hingga tidak mampu bangun sejak empat tahun lalu, namun saya masih diberikan kudrat dan kekuatan oleh Allah untuk menulis," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.
Aris, yang dilahirkan di Kampung Tengah di sini pada 19 September 1937 mula bergiat dalam bidang penulisan sejak tahun 1951 apabila menjadi penulis untuk akhbar Utusan Kanak-Kanak, terbitan Utusan Melayu.
Ketika itu beliau turut mendapat bimbingan daripada pengarang terkenal termasuk bekas Tokoh Wartawan Negara Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail, Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang dan penulis lain termasuk Allahyarham Awang Musarkam.
Aris juga pernah menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Johor dan bergiat dalam bidang politik iaitu sebagai bekas Ketua UMNO cawangan Seri Timbalan dan bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Muar.
"Selepas menceburkan diri dalam bidang penulisan itu, karya-karya saya berupa rencana dan berita khususnya berkaitan sejarah, hal ehwal semasa dan agama kerap disiar dalam akhbar-akhbar dan majalah tanah air," jelasnya.
Karya terakhir Aris berjudul 'Lajnah Pengembang Pelajaran Agama Islam di Muar' dalam jurnal terbitan Yayasan Warisan Johor keluaran tahun 2002.
Walaupun dalam keadaan terbaring uzur di rumahnya, namun, Aris masih mampu menulis biografi tentang dirinya yang kini hampir disiapkan.
Bapa kepada lima orang anak berusia antara 32 hingga 41 tahun itu memberitahu, belum pernah menjadi wartawan sambilan dengan akhbar Berita Harian di Muar selama hampir 10 tahun sejak tahun 1979.
Aris juga pernah berkhidmat selama 44 tahun sebagai guru mulai tahun 1953 yang mengajar di beberapa buah sekolah rendah di sekitar daerah ini sebelum bersara.
Bagaimanapun, kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang disambut umat Islam baru-baru ini begitu menyedihkan Aris apabila ramai di kalangan rakan-rakan dan sanak saudaranya tidak menziarahinya yang sedang uzur.
"Sejak empat tahun terlantar di rumah, bilangan rakan-rakan lama yang datang menziarah saya hanya boleh dibilang dengan jari,'' katanya. katanya.
Aris turut mengarang sebuah pantun yang amat mendalam dan meminta untuk dituliskan kepada pembaca yang mengenalinya iaitu:
Mari makan buah kuini
Dikupas oleh si dara sunti
Selamat Hari Raya ucapan diberi
Gerangan ke mana kawan-kawan yang dirindui
Justeru, Aris merayu agar kenalannya menghubunginya di talian 06-9521212 atau berkunjung ke rumahnya di alamat Nombor 128, Jalan Mawar 7, Taman Mawar, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan