Oleh panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
|
Al-quran perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian. |
DALAM ruangan minggu lepas, kita menampilkan peristiwa bersejarah tentang jihad umat Islam di Mesir pada 10 Ramadan 1393 Hijrah. Minggu ini pula, ruangan ini tersiar tepat pada 17 Ramadan yang menghantar kita kembali kepada dua peristiwa bersejarah penting bagi umat Islam, iaitu Nuzul Quran dan Ghazwah Badar al Kubra.
Nuzul al-Quran
Di Malaysia, apabila tiba 17 Ramadan, rata-rata umat Islam mengadakan sambutan sempena Nuzul al-Quran. Mengimbau sejarah penurunan al-Quran, mengingatkan umat Islam tentang keagungan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terbesar ini.
Sebenarnya Allah SWT berkuasa menurunkan al-Quran tanpa melalui perantaraan sesiapa. Tetapi Allah telah menghendaki al-Quran itu diturunkan melalui perantaraan Jibril a.s untuk disampaikan kepada insan pilihannya, Nabi Muhammad SAW kerana rahsia agung yang terdapat di sebaliknya.
Rasulullah SAW pula bukan sahaja berjaya menyampaikan wahyu tersebut dengan sempurna. Baginda SAW mengaplikasi dan mencernakan setiap wahyu tersebut dalam segenap tindakan dan perbuatannya sehinggakan akhlak Baginda dinobatkan sebagai al-Quran.
Justeru, nabi SAW adalah gambaran al-Quran. Menceritakan tentang kebesaran al-Quran bermakna menceritakan tentang keindahan akhlak baginda SAW. Maka tidak wajarlah kita mengadakan sambutan Nuzul Quran tetapi meminggirkan insan pilihan yang menjadi penyebab kita dapat memahami dan menikmati keindahan al-Quran tersebut.
Penjagaan al-Quran
Di antara mukjizat al-Quran adalah Allah SWT sendiri menjamin penjagaan terhadap isi kandungannya hingga kiamat. Sekalipun pelbagai usaha dilakukan untuk mencemarkan dan mengubah kandungannya, al-Quran tetap terpelihara seperti mana yang dapat kita lihat hari ini. Allah berfirman: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya. (al-Hijr :9)
Al-Quran disampaikan daripada satu generasi ke satu generasi melalui kaedah yang cukup sistematik, terperinci dan menyeluruh. Kaedah ini dinamakan sebagai sanad atau isnad.
Diriwayatkan daripada Abu Abbas al-Daghuli berkata: Saya mendengar Muhammad ibnu Hatim ibnu al Muzaffar berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan umat ini dan melebihkannya dengan isnad. Tidak seorang pun dari umat-umat terdahulu dan yang akan datang dikurniakan isnad.
"Hanya suhuf (lembaran-lembaran) yang berada di tangan mereka, tetapi Kitab-kitab mereka telah bercampur dengan khabar-khabar mereka. Mereka tidak dapat membezakan di antara kitab Taurat dan Injil yang diturunkan, dan di antara cerita-cerita yang masuk ke dalam kitab mereka yang diambil daripada orang-orang yang tidak dipercayai."
Sebagai agama yang suci, Islam amat menitikberatkan permasalahan sanad dan ijazah sebagai bukit kesahihan serta ketulenan sesuatu riwayat dalam membendung perkara-perkara yang dibawa masuk serta ditokok tambah di dalam agama dari perkara usul dan cabangnya. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya: Wahai orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya. (al-Hujuraat: 6)
Namun, hari ini, ramai umat Islam tidak lagi peka dan faham tentang apa yang dinamakan sanad. Malah, mereka mempersoalkan majlis-majlis bagi menghidupkan konsep sanad dan ijazah dalam periwayatan ilmu.
Justeru, memandang pelik dan ganjil terhadap sanad adalah suatu kejahilan. Penyakit yang menimpa umat ini akibat telah tersusuk dengan jarum-jarum para musuh Islam yang sentiasa berusaha keras meruntuhkan keutuhan dan kekebalan agama Allah yang tertinggi ini dengan meruntuhkan kekuatan spiritual dalam Islam yang terhasil dari kesinambungan rantaian ruhiyyah dan keberkatan kepada nabi yang diwarisi oleh para Salafussoleh sejak zaman berzaman.
Oleh itu, mereka sedaya upaya cuba menghapuskan konsep pengajian talaqqi bersanad di dalam Islam. Pada masa yang sama mereka menyemai fikrah agar manusia menggunakan akal fikiran sendiri dan pembacaan semata-mata untuk memahami sesuatu ilmu tanpa mengambil dari guru yang mempunyai sanad dan ijazah.
Apabila munculnya satu generasi yang meletakkan kemampuan akal dan pengkajian individu semata-mata terhadap ilmu Islam, akan timbullah pertembungan dalam tubuh umat Islam yang mengakibatkan perpecahan dan porak peranda. Natijahnya, umat Islam saling berbalah antara satu sama lain. Akhirnya memberi ruang yang besar kepada musuh-musuh luar merobek perpaduan mereka.
Maka tidak peliklah hari ini, apabila kita melihat ada dari kalangan ahli ilmu yang pelik mendengar istilah 'sanad' ini. Sufyan al-Thauri telah menegaskan: "Isnad adalah senjata orang Mukmin. Apabila tiada bersamanya, senjata maka dengan apakah ia akan berperang?"
Ghazwah Badar al-Kubra
Jika al-Quran turut dinamakan al-Furqan kerana penurunan al-Quran memisahkan antara yang hak dan batil, pertempuran Badar pula dinamakan Yaum al-Furqan yang bermaksud Hari Pemisah antara Hak dan Batil. Sebabnya, inilah hari yang menentukan sama ada kebenaran yang akan tertegak atau pun kebatilan.
Allah memberi perhatian yang besar kepada peristiwa Badar sebagaimana firman-Nya: Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada 'Hari Al Furqaan', iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 41).
Sejarah mencatatkan Ghazwah Badar al-Kubra berlaku pada Jumaat, 17 Ramadan tahun 2 Hijrah. Ia adalah peperangan paling besar dan penting bagi umat Islam kerana ia peperangan yang menentukan masa depan umat Islam, bahkan masa depan umat manusia seluruhnya.
Justeru, seluruh umat Islam terhutang budi dengan pahlawan-pahlawan Islam Badar kerana tanpa semangat juang mereka yang tinggi demi mempertahankan agama Islam yang suci, pengorbanan dan kekuatan tawakal mereka kepada Allah, sudah pasti kita tidak dapat menikmati Islam seperti yang kita kecapi pada hari ini.
Kedua-dua peristiwa besar ini sangat penting diingati oleh seluruh umat Islam. Bukan sekadar dikenang tetapi lebih dari itu untuk mengaut 1,001 pengajaran dan hikmah yang sarat terkandung di dalamnya.
Jika dibandingkan bilangan tentera Muslimin ketika itu yang hanya seramai 313 dan kelengkapan perang mereka yang tidak mencukupi dengan bilangan tentera musyrikin yang melebihi 1,000 orang lengkap dengan peralatan perang, mustahil pada akal umat Islam beroleh kemenangan gilang gemilang seperti yang dikecapi oleh umat Islam dalam peperangan Badar.
Namun, Allah telah merakamkan kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar melalui firman-Nya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (ali-'Imran: 123-127)
Ini memberitahu kita bahawa faktor fizikal atau kuantiti bukanlah modal utama bagi suatu kejayaan tetapi faktor dalaman atau kualiti yang lebih utama dan berkesan.
Sifat tawaduk, yakin dengan Allah dan tawakal yang dimiliki oleh tentera Islam telah menarik pandangan Allah hingga Allah menghantar pertolongan-Nya melalui malaikat-malaikat yang diutuskan. Sifat bongkak, takbur dan menganggap kejayaan itu datang daripada diri sendiri yang dimiliki oleh kaum Quraisy adalah modal utama bagi suatu kegagalan dan kekecewaan.
Jasa dan bakti yang begitu besar para satria Badar demi memperjuangkan kemerdekaan agama perlu kita kenang dan uar-uarkan. Bukan kerana mereka memerlukan kita kerana mereka telah pun mendapat kedudukan yang tinggi sebagai syahid di sisi Allah dan dijanjikan dengan syurga Firdaus. Tetapi kitalah yang perlu mengambil formula dan keberkatan daripada mereka bagi mendapatkan jiwa yang waja dan thabat (tetap) seperti mereka dalam mencintai dan mempertahankan agama Allah.
Hanya dengan sedikit cubaan dan fitnah, kita terus rebah meninggalkan medan perjuangan dan dakwah, lesu untuk berkorban, malah terjebak dalam tipuan dunia dan perangkap musuh.
Justeru, insafilah diri kita pada Ramadan kali ini. Adilkah kita mencaci dan mencerca mereka sebagaimana yang dilakukan oleh pengikut fahaman Syiah Rafidhah yang melakukan perbuatan mencaci para sahabat nabi SAW. Jika kita berada di tempat mereka ketika itu, apakah kita sanggup berdepan dengan tentera musuh yang terdiri daripada panglima-panglima tentera yang bengis dan hebat?
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 SEPTEMBER 2009