PENGUNJUNG SETIA

22 September 2009

'NGAPURO SEDULUR' SEMPENA RAYA

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Budaya bermaaf-maafan dalam keluarga besar keturunan Jawa priyayi

BUDAYA bersalam-salaman dan bermaaf-maafan pada pagi 1 Syawal menjadi amalan pelengkap kepada sambutan Aidilfitri di kalangan rumpun Melayu sehingga sambutan itu seolah-olah tidak sempurna seandainya kita tidak meminta ampun daripada mereka yang lebih tua atau dihormati.

Bagaimanapun, budaya bersalam-salaman dan bermaaf-maafan berbeza-beza mengikut tempat kerana di kalangan rumpun tertentu seperti Jawa atau Melayu di utara tanah air, amalannya bukan saja meriah, bahkan unik dan penuh dengan tatatertib.

Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, berkata budaya bermaaf-maafan dalam keluarga besarnya yang dikenali sebagai ngapuro sedulur di Kampung Seri Makmur, Tangkak, menghimpunkan seluruh anggota keluarga bermula moyangnya, Salleh Abdul Rahman yang dipanggil embah sehinggalah kepada cicit.

"Acara ngapora sedulur dibuat dengan penuh tertib dan memberi peluang kepada generasi muda mendengar ibu serta bapa saudara bercakap dengan menggunakan bahasa Jawa halus. Lazimnya selepas solat sunat Aidilfitri, kami berkumpul di rumah embah untuk acara bersalam-salaman bermula daripada ahli keluarga paling tua mengadap embah," katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Shamsudin berkata, ngapuro sedulur akan menyaksikan ahli keluarga beratur mengadap embah untuk bersalam dan bermaaf-maafan, bermula dengan anak-beranak paling tua dan diikuti cucu serta cicit sebelum tiba giliran biras, besan di samping ipar.

"Sebagai cicit saya menunggu giliran untuk bersalam sambil mencium tangan embah dan embah pula akan memegang ubun-ubun kepala serta mendoakan saya. Menariknya, embah membacakan doa yang berbeza kepada setiap ahli keluarga, manakala doa itu pula dilafazkan dalam bahasa Jawa halus sehingga saya sendiri tidak faham," katanya yang menghasilkan kumpulan puisi Taman Percakapan.

Sastera diberitahu ngapuro sedulur selalunya menjadi budaya di kalangan keluarga priyayi, berketurunan ulama dan guru yang membuka madrasah.

Bagi Penulis skrip Cinta Madinah 2 dan Lara Rindu Mahsuri, Ummu Hani Abu Hassan, budaya bersalam-salam dan bermaaf-maafan di dalam keluarga besar dan masyarakat kampungnya di Padang Sera, Kodiang, berlangsung sebelum solat sunat Aidilfitri.

"Pada pagi 1 Syawal itu, tok, tok wan, abah dan umi yang sudah bersiap-siap akan duduk di ruang tamu, manakala saya akan memanggil adik-beradik untuk bersalam-salaman serta bermaaf-maafan, tanpa mengira sama ada mereka sedang sibuk di dapur atau belum mandi lagi.

"Abah dan umi akan 'mengadap' tok dan tok wan dulu, sebelum saya dan adik-beradik berbaris berbuat demikian. Kehadiran kakak sulung kepada ibunya yang membawa keluarga ke rumah itu untuk memenuhi tradisi itu sebelum solat sunat Aidilfitri berkenaan sekiranya berkesempatan, menjadikan suasana lebih meriah," katanya ketika ditemui di Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ummu Hani berkata, budaya yang sama diteruskan keluarga sebelah abah di Felda Guar Napai, Kodiang dan mereka lebih ramai berbanding ibu yang hanya dua beradik selain selalunya abah berjanji dengan adik-beradiknya yang lain untuk memilih tarikh yang sesuai.

"Abah juga akan membawa kami sekeluarga untuk 'pi beghaya' ke rumah keluarga adik-beradiknya dan istilah 'pi beraya' lebih merujuk kepada amalan bermaaf-maafan dan bukannya untuk menghadiri jamuan," katanya yang turut menghasilkan novel Ladang Hati Mustika, Baromkheh, Matamu di Mataku, 1 Bulan 3 Bintang dan Senyum Kota Suriah.

Amalan 'pi beghaya' itu juga diisi dengan menziarahi moyangnya secara beramai-ramai di Kuala Perlis dan selalunya diadakan pada hari raya ketiga atau keempat, selepas masing-masing bersepakat terhadap tarikh kunjungan.

"Apa yang penting ketika bersalam-salaman adalah sentuhan kasih sayang mereka yang lebih berusia dan perasaan rendah hati kami yang lebih muda sehingga saya sering mengingatkan adik-beradik aagar jangan segan meminta maaf. Saya sendiri berbuat demikian," ujarnya.

SUMBER: SASTERA BERITA HARIAN, 22 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: