PENGUNJUNG SETIA

24 September 2009

KERAJAAN KOMITED BANTU ORANG ASLI

MUAR 23 Sept. - Kerajaan komited untuk memberi perubahan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Lubok Dapur, Pagoh di sini dengan membawa pembangunan yang diperlukan dari semasa ke semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, usaha awal yang dijalankan pihaknya adalah dengan membawa agensi kerajaan yang terbabit untuk meninjau keadaan dan kemudahan yang dapat disediakan.

''Dalam rombongan kali ini, kami telah membawa wakil-wakil dari Tenaga Nasional Berhad serta Syarikat Air Johor (SAJ) serta Jabatan Kerja Raya untuk meneliti keadaan kampung ini.

''Malah saya juga berharap akan dapat membawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh untuk melawat kampung ini dapat melihat perubahan yang dapat kami bawa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak di Kampung Lubok Dapur, di sini baru- baru ini.

Pada majlis itu juga, sumbangan berupa barang keperluan asas turut disampaikan kepada 41 orang ketua keluarga Orang Asli kampung itu serta lapan ketua keluarga dari Kampung Orang Asli Searak Api, Sedenak.

Biarpun majoriti penduduk Orang Asli terbabit bukan beragama Islam dan tidak berbuka, mereka dengan ramahnya turut bersama-sama memeriahkan majlis berbuka puasa yang julung kali diadakan di kampung tersebut.

Jelas Shahruddin, dalam membantu para penduduk Orang Asli meningkatkan pendapatan, beliau turut membawa pegawai dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk memberi penerangan dalam rancangan 'Tanam Semula Berkelompok' di ladang kelapa sawit di kampung tersebut.

Menurut beliau, biarpun pelbagai bantuan dan galakan disalurkan kerajaan kepada penduduk Orang Asli, harapan yang diletakkan untuk mengubah hidup masyarakat Orang Asli adalah tetap bergantung kepada pendidikan.

''Nasihat saya kepada ibu bapa Orang Asli adalah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah supaya mereka mendapat pendidikan secukupnya.

''Kalau yang tidak ada surat beranak itu, daftar dengan segera supaya mereka dapat berada di sekolah dan kemudian mendapat pendidikan yang boleh mengubah kehidupan keluarga ke tahap yang lebih baik," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: