PENGUNJUNG SETIA

28 September 2009

'BANTU KAMI ATASI BANJIR KILAT'


AWANG Husin (kiri) menunjukkan parit yang perlu dinaik taraf bagi mengelakkan banjir kilat berlaku lagi di Kampung Tanjung Agas, Muar, baru-baru ini.


MUAR 27 Sept. - Masalah banjir kilat yang sering membelenggu penduduk Kampung Tanjung Agas, di sini perlu diberi perhatian serius memandangkan keadaan itu telah berlanjutan sejak sekian lama.

Dengan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna, hujan lebat selama dua jam sahaja sudah cukup untuk mengakibatkan air melimpah masuk ke dalam rumah penduduk sehingga mencecah ketinggian 0.3 meter.

Menurut seorang penduduk, Awang Husin, 80, punca utama yang mengakibatkan banjir kilat itu kerana sistem perparitan masih belum dinaik taraf.

"Kalau hujan lebat, sebanyak kira-kira 30 buah rumah di Kampung Tanjung Agas ini boleh dimasuki air kerana banjir kilat.

"Keadaan boleh menjadi teruk apabila waktu air pasang dan pintu air tidak tertutup kerana kedudukan kampung ini tidak jauh dari tali air JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) yang membawa air ke Sungai Muar," katanya di sini baru-baru ini.

Pada tahun ini, rumahnya telah dinaiki air sebanyak tiga kali gara-gara kejadian banjir kilat.

"Setiap kali hujan lebat, keluarga kami menjadi resah kerana barang-barang perlu dipindahkan ke tempat tinggi dengan segera," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nordin Ahmad, 56, berkata, kejadian banjir kilat di kampung tersebut diburukkan lagi apabila air dari parit utama masuk ke parit di kampung itu.

"Jarak di antara parit di jalan raya dengan rumah-rumah di hujung kampung ini sejauh 200 meter dan air boleh melimpah masuk ke dalam kampung," katanya.

Beliau berkata, masalah berkenaan telah dimaklumkan kepada agensi kerajaan terbabit termasuk Majlis Perbandaran Muar dan JPS, namun sehingga kini tindakan menanganinya belum diambil.

"Saya amat berharap agar masalah ini dapat diselesaikan segera kerana ia melibatkan kepentingan penduduk," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: