PENGUNJUNG SETIA

01 September 2009

KIBAR JALUR GEMILANG DEMI NEGARA

Oleh Jamaludin Husin

PENDUDUK bergambar bersama Asojan (tengah) selepas majlis penyampaian Jalur Gemilang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Gambir.

Rakyat perlu kibar bendera sebagai tanda kecintaan kemerdekaan pertiwi

LEDANG: Rakyat perlu menunjukkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang, sama ada di premis kediaman atau perniagaan, walaupun sambutan kemerdekaan negara kali ini diadakan secara sederhana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan, berkata langkah mengibarkan bendera bukan saja bertujuan menyemarakkan lagi sambutan hari bersejarah itu, tetapi turut mengukuhkan lagi semangat kecintaan kepada negara.

“Walaupun sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini bersamaan dengan Ramadan dan pada masa sama, negara pula diancam dengan wabak H1N1 dan berdasarkan kedua-dua faktor itu, kerajaan mengambil langkah mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini secara sederhana.

“Kerajaan juga mengambil langkah berhati-hati dengan tidak menggalakkan rakyat menyertai perhimpunan secara besar-besaran bagi mengelak daripada dijangkiti wabak itu," katanya pada majlis penyampaian Jalur Gemilang DUN Gambir, di sini kelmarin.

Asojan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Sains dan Inovasi negeri berkata, sempena Ramadan juga, rakyat terutama masyarakat Islam disaran menyertai majlis keagamaan yang dianjurkan di kawasan masing-masing.

Mengenai konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, beliau berharap konsep itu difahami oleh pemimpin masyarakat semua kaum di peringkat akar umbi.

“Justeru, menjadi tanggungjawab pemimpin masyarakat terutama pada peringkat akar umbi supaya prihatin terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini dengan memberi penjelasan mengenai konsep 1Malaysia kepada komuniti penduduk dalam kawasan masing-masing," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 01 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: