PENGUNJUNG SETIA

07 September 2009

12 PEMANDU LALOK

Oleh Junita Mat Rasid
bhnews@bharian.com.my

Dakwa ubat sakit kepala punca dadah dalam air kencing

MUAR: “Saya baru telan ubat sakit kepala, sebab itu air kencing positif dadah, ” antara alasan popular pemandu yang ditahan dan kesan mengambil dadah terlarang dalam Ops Merpati yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Muar dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah.

Selain itu, penagih dadah turut menggunakan alasan mereka tidak mengaku mengambil bahan itu dan tidak tahu macam mana air kencing mereka boleh dikesan positif dadah serta mendakwa sudah lama tidak menyuntik atau menagih dadah.

Dalam operasi yang dijalankan dalam dua sesi iaitu jam 10 pagi hingga 2 petang dan jam 10 malam hingga 12 malam itu, 12 pemandu kenderaan persendirian dikesan positif penggunaan dadah, manakala kira-kira 50 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan.

Semua pemandu berusia lingkungan 25 tahun hingga 40 tahun yang didapati positif penggunaan dadah itu kini ditahan untuk tindakan susulan.

Operasi yang dijalankan oleh 25 pegawai dan anggota AADK serta JPJ di Stesen Timbang Kesang, dekat sini itu langkah berterusan agensi kerajaan bagi mengesan penagih dadah dan seterusnya mengambil tindakan susulan termasuk mengambil tindakan undang-undang.

Ketua Ops Merpati daerah, Zurina Zahari, mengakui penagih dadah sanggup memberikan pelbagai alasan kepada pihak AADK setiap kali mendapati ujian air kencing mereka didapati positif bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Katanya, dalam operasi terbaru itu, pihaknya sudah lali dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh penagih dadah dan tetap mengambil tindakan tegas serta sebagai langkah susulan, semua air kencing yang didapati positif itu akan diserahkan kepada pihak hospital untuk ujian serta pengesahan lanjut.

“Sebenarnya, kelakar juga apabila ada yang memberi alasan mereka baru mengambil sakit kepala yang menyebabkan ujian air kencing mereka positif dadah kerana jika sebenarnya ubat itu diambil dengan sukatan yang betul, ia tidak akan memberi kesan kepada ujian air kencing.

“Biasalah untuk melepaskan diri daripada ditahan, ada pemandu sanggup mengaku mereka mengambil ubat dan bukannya mengambil dadah, malah ada yang mengaku mereka bukan penagih dadah dan tidak tahu bagaimana ujian air kencing itu positif dadah, ” katanya.

Zurina berkata, pihaknya menjalankan ujian saringan air kencing dengan menggunakan kertas jalur khas dan keputusan yang tepat boleh diketahui dalam tempoh kira-kira seminit saja tetapi pihaknya tetap akan membuat ujian susulan dengan menggunakan air kencing yang sama untuk diuji oleh doktor bagi pengesahan lanjut.

Katanya, melalui ujian saringan air kencing itu, mereka yang didapati mengambil dadah akan dapat dikesan walaupun kali terakhir mereka mengambil dadah ialah kira-kira sebulan lalu.

“Biasanya penagih akan mengambil dadah terlarang itu dalam sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua hari tetapi bagi mereka yang mengambil dadah dalam tempoh sebulan, ujian air kencing itu akan tetap dapat mengesannya, ” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengadakan Ops Merpati itu secara berterusan bagi mengesan penagih dadah dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras penyalah-gunaan dadah.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 7 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: