PENGUNJUNG SETIA

22 September 2009

KONSEP RUMAH TERBUKA PERLU DITERUSKAN: MUHYIDDIN

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep rumah terbuka yang diadakan setiap kali perayaan, termasuk Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, perlu diteruskan kerana ia menunjukkan keistimewaan negara ini, sekali gus membuktikan hubungan mesra yang sudah lama terjalin diantara semua kaum.

Timbalan Perdana Menteri, berkata sambutan pada rumah terbukanya pada hari raya kedua termasuk rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama beliau dan Menteri Kabinet yang lain pada pada hari raya pertama itu memberi makna bahawa semangat yang sudah lama terjalin di Malaysia dan menjadi teras untuk membina Malaysia yang berjaya.

"Semangat yang ditunjukkan pada perayaan ini oleh semua kaum adalah cukup mesra dan nampaknya mereka tidak ada perbezaan bila merayakan sambutan begini dan kemesraan antara kaum dalam negara jelas menjadi bukti hubungan yang sedia terjalin.

"Kita mahu supaya semangat kekitaan dan semangat 1Malaysia itu terus disemarakkan bukan saja di musim kita mengadakan perayaan tetapi sepanjang masa kerana kita tidak rasa janggal atau kekok ketika bersama kaum lain," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri, di sini, hari ini.

Rumah terbuka yang kali pertama diadakan di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, itu dihadiri hampir 20,000 tetamu.

Mereka turut disambut oleh isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan empat anak mereka, Fakhri Yassin, Nabilah, Najwa serta Farhan.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Taat dan Adun Jorak, Dr Shahruddin Salleh.

Muhyiddin berkata, keistimewaan sambutan perayaan melalui penganjuran rumah terbuka itu adalah sesuatu yang tidak terdapat di negara lain dan sewajarnya menjadi satu tradisi yang dihargai dan perlu dipertahankan.

Katanya, walaupun ada di kalangan orang luar yang beranggapan Malaysia tidak stabil dan rakyatnya sudah tidak seperti dahulu tetapi itu adalah persepsi mereka yang tidak mengetahui keadaan sebenar negara ini.

"Saya jumpa ramai tetamu asing yang menyatakan rasa kagum (dengan Malaysia) kerana mereka tidak melihat suasana seperti itu di negara mereka dan ini mereka lihat satu keistimewaan yang hanya ada di Malaysia," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: