PENGUNJUNG SETIA

15 September 2009

30 KUMPULAN TADARUS AL-QURAN KEMAS SEMARAKKAN RAMADAN


AZEMAN Md. Yusof (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dalam program Gema Ramadan Kemas Johor di Masjid Datuk Abdul Ghani, Kampung Sagil Parit 2, Ledang, baru-baru ini.

LEDANG 14 Sept. - Sebanyak 30 kumpulan tadarus terdiri daripada kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Johor berhimpun pada majlis khatam al-Quran di Masjid Jamek Datuk Abdul Ghani, Kampung Sagil Parit 2, di sini baru-baru ini.

Majlis sempena Program Gema Ramadan Kemas peringkat Johor 2009 itu merupakan sebahagian daripada pengisian Kemas untuk menyemarakkan Ramadan dengan ibadah di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama kakitangan.

Pengarah Kemas Johor, Azeman Md. Yusof berkata, program tersebut merupakan acara tahunan dengan lokasinya ditukar setiap tahun bagi membolehkan Kemas turut menjalin hubungan baik dengan masyarakat setempat.

"Di peringkat negeri, kita libatkan masyarakat dengan menggunakan kemudahan masjid supaya masyarakat dekat dengan anggota Kemas dan dapat menjalinkan hubungan mesra.

"Kita mengharapkan penganjuran program Gema Ramadan ini dapat membuahkan hasil yang indah dan kesepakatan yang kita jalinkan bersama ini dapat mengeratkan lagi silaturahim," katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Masjid Jamek Datuk Abdul Ghani di sini baru-baru ini.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Kemas Johor, Marsidi Katong, Pengerusi Koperasi Kemas Negeri Johor Berhad, Abd. Latif Said dan Ketua Kampung Sagil Parit 2, Simin Jasiman.

Pada majlis yang sama, Kemas menerusi Koperasi Kemas Negeri Johor Berhad menghulurkan sumbangan kuih dan duit raya kepada 52 orang anak yatim.

Azeman berharap sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Sumbangan ini memberi makna yang besar kepada anak-anak yang menerimanya dan seharusnya berasa insaf untuk turut sama menghulurkan bantuan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA JOHOR, 15 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: