PENGUNJUNG SETIA

12 September 2009

SIFAT PEMURAH PADA RAMADAN WAJAR BERTERUSAN

MUHYIDDIN dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (kiri) mengacau bubur lambuk anjuran Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, Pagoh, semalam.

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sifat pemurah dan bersedia membantu golongan kurang berkemampuan yang menjadi lumrah pada Ramadan perlu diteruskan sepanjang masa kerana ia bukan saja amalan terpuji di sisi agama tetapi juga dapat membantu menangani masalah kemiskinan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini masyarakat Malaysia termasuk syarikat korporat sentiasa menghulurkan bantuan apabila program bantuan sering mendapat sambutan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menyambut Ramadan dan seterusnya hari raya.

"Alhamdulillah, sambutan penyumbang menggalakkan apabila bantuan mencurah-curah setiap kali Ramadan dan kita berharap sifat pemurah dan bersedia membantu mereka yang memerlukan itu sudah menjadi satu perkara lumrah dan saya percaya sifat pada Ramadan itu dapat diteruskan sepanjang masa, untuk hulur bantuan apa saja.

"Majlis sumbangan di Malaysia begitu mendapat sambutan memberangsangkan dan ini adalah budaya Islam yang dituntut agama," katanya ketika berucap pada Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran, di Kompleks Seri Pekembar, di sini, semalam.

Pada majlis itu, 181 golongan kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal dan anak yatim menerima sumbangan barang keperluan dan wang tunai.

Muhyiddin berkata, Ramadan masa terbaik untuk semua pihak bersama-sama merasai kesusahan dihadapi golongan kurang berkemampuan dan membantu mereka.

Katanya, budaya membantu orang lain memerlukan itu juga yang selaras dengan dasar kerajaan dalam usaha membantu golongan miskin tegar keluar daripada kelompok itu dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Muhyiddin berkata, kerajaan memberi tempoh sehingga akhir tahun depan untuk membasmi golongan miskin tegar di negara ini, dengan membantu mereka menerusi beberapa program peningkatan pendapatan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 12 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: