PENGUNJUNG SETIA

22 September 2009

KELUAR MCA JIKA RESOLUSI DITOLAK

Oleh Junita Mat Rasid dan Hassan Omar
bhnews@bharian.com.my

Dr Chua dakwa ramai pemimpin letak jawatan jika usul EGM tak diterima

TANGKAK: Timbalan Presiden MCA yang digantung jawatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa ramai perwakilan, pemimpin dan ahli parti itu akan meletak jawatan, malah mungkin bertindak keluar parti jika resolusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti 10 Oktober ini tidak berpihak kepadanya.

Katanya, kesimpulan itu dicapai hasil pertemuannya dengan perwakilan dan pemimpin MCA di seluruh negara menjelang EGM.

"Memang ada ura-ura mengatakan daripada perwakilan dan pemimpin MCA peringkat akar umbi bahawa jika resolusi EGM itu tidak diluluskan, maka sebahagian ahli MCA akan meletak jawatan.

"Saya tidak tahu (mengenai ahli akan keluar MCA), saya harap tiada, walaupun ada ura-ura (mahu keluar parti)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Sungai Mati dekat sini, semalam.

Antara usul dicadangkan penyokong Dr Chua untuk EGM itu ialah ahli parti tidak mempunyai keyakinan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai presiden; membatalkan keputusan majlis presiden 26 Ogos lalu yang menerima cadangan lembaga disiplin dan keputusan jawatankuasa pusat untuk memecat atau menggantung Dr Chua; Dr Chua dikembalikan jawatannya sebagai Timbalan Presiden MCA dan pelantikan yang dibuat oleh jawatankuasa pusat termasuk membabitkan Timbalan Presiden MCA, dibatalkan.

Dr Chua berkata, tindakan ahli MCA mahu keluar parti bukan kerana terlalu taksub dengannya, sebaliknya kerana mereka kecewa dengan kepemimpinan hari ini yang tiada wawasan, tiada tindakan positif dan tidak konsisten.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan ahli MCA peringkat akar umbi, beliau turut meminta mereka supaya bertenang dan berdisiplin serta berpegang teguh kepada perjuangan parti dengan memberi sokongan penuh kepadanya.

"Bagaimanapun, ramai ahli yang sudah berputus asa kerana setahun ini presiden (Ong) tidak dapat menunjukkan kepemimpinan beliau dan tiada hala tuju yang jelas sehingga dalaman parti berpecah-belah.

"Saya berharap EGM ini sedikit sebanyak akan menyelesaikan masalah dalaman parti," katanya.

Dr Chua berkata, sebelum tarikh EGM itu, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk berjumpa sebanyak mungkin perwakilan.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ong berkata, beliau bersedia menerima keputusan EGM, walaupun menyedari satu daripada lima resolusi bakal dibincangkan adalah yang berkaitan kedudukannya sebagai Presiden MCA.

"Memang itulah niat kita (menyelesaikan kemelut dalam parti). Itu sebab kita mahu menjayakannya, termasuk memuatkan semua usul yang dicadangkan Dr Chua Soi Lek," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, semalam.

Ong yang enggan mengulas lanjut, hadir di sini untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin MCA Sabah di sebuah restoran.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu yang mahu EGM MCA menjadi penyelesai mutlak kemelut dalaman parti itu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 22 SEPTEMBER 2009

Tiada ulasan: