PENGUNJUNG SETIA

17 September 2009

36 PAKAR TAFSIR AL-QURAN DITEMPATKAN DI MUKIM SELURUH NEGERI

hairulabubakar l medkom
Bantu...Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman menyampaikan bantuan kepada Ketua Cawangan Sri Cantik Sengkang, Rosmani Abd Samad untuk diagihkan kepada pelajar anak yatim dan pelajar anak keluarga susah selepas majlis tadarus dan penyampaian bantuan anjuran UMNO di Masjid al-Taqwa Tanjung Gading Barat.
LEDANG, 15 Sept: Seramai 36 orang pakar tafsir al-Quran dari kalangan anak Johor akan ditempatkan di mukim-mukim di seluruh negeri bagi membolehkan masyarakat Islam mendapat manfaat secara langsung.
Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata program itu adalah sebahagian daripada perancangan Kerajaan Negeri bagi membangunkan ilmu tafsiran al-Quran tersebut secara lebih mendalam.

Katanya, kumpulan ini dihantar mengikuti pengajian Sarjana Muda dalam bidang tafisr al-Quran di beberapa institusi pengajian dan apabila tamat kelak mereka akan diberi tanggungjawab menyampaikan ilmu yang telah diperoleh itu kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

“Kita akan tempatkan pakar tafsir bukan sahaja di daerah-daerah tetapi kita mahu ia sampai ke peringkat akar umbi agar masyarakat bukan sekadar membaca tetapi turut memahami isi kandungan al-Quran.

“Tugas mentafsir al-Quran adalah berat dan kita berharap dengan adanya pakar tafsir maka ia akan membantu dalam memperincikan lagi pemahaman terhadap kitab suci itu sekali gus mendalami agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis tadarus dan penyampaian bantuan anjuran UMNO di Masjid al-Taqwa, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian berkenaan terlebih dahulu menyertai majlis tadarus bersama-sama penduduk kampung dan selepas itu menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak yatim dan golongan miskin.

Sejumlah 650 orang anak-anak yatim serta murid miskin dan 453 golongan miskin daripada 138 cawangan UMNO menerima wang tunai RM60 setiap satunya.

Pada majlis itu juga seramai 45 ibu tunggal turut menerima masing-masing hamper hari raya dan wang tunai RM100.

SUMBER: PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

Tiada ulasan: