PENGUNJUNG SETIA

06 Februari 2012

BANDAR MAHARANI KINI BANDAR DIRAJA

Sultan Johor isytihar Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja

MUAR - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengisytiharkan Bandar Maharani di sini sebagai Bandar Diraja Johor.

Sultan Johor membuat pengisytiharan tersebut pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Jamek Sultan Ibrahim.

Baginda meminta penduduk di bandar ini sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan sekitar dan tidak semata-mata menyerahkan tugas itu kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Muar (MPM).

"Allah amat sukakan kebersihan dan mengasihi orang yang sentiasa mengutamakan kebersihan," titah baginda yang sebelum itu mengetuai perarakan maulidur rasul.

Turut serta Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Menurut baginda, walaupun setengah orang menggelar bandar Muar sebagai bandar "pencen' (bandar untuk menikmati persaraan), ia sebenarnya sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan.

Baginda turut mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak mempercayai bulat-bulat maklumat yang disebarkan melalui internet kerana ia belum tentu benar.

Sultan Johor berpesan agar masyarakat Islam sentiasa mengamalkan hidup berlandaskan Islam dan sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan mengamalkan suruhannya supaya mereka menjadi insan yang baik dan sentiasa mendapat hidayah daripada Allah.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata kerajaan negeri akan merancang pembangunan di bandar diraja itu sesuai dengan statusnya sekarang.

"Ke bawah Duli Tuanku sering berangkat mencemar duli ke bandar ini kerana keindahannya yang terletak di muara Sungai Muar dan mempunyai bangunan-bangunan lama yang dibina sekitar tahun 1920-an," katanya.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin setempat bagi mengkaji bentuk pambangunan yang akan dilaksanakan di bandar ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Jorak, Datuk Dr Sharuddin Mat Salleh berharap kerajaan negeri memastikan tanah kerajaan di bandar ini dijadikan rizab tertentu bagi diseimbangkan dengan pembangunannya. - Bernama

SUMBER: SINAR HARIAN, 06 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: