PENGUNJUNG SETIA

02 Februari 2012

RM12.3J BAIKI, BINA KEMUDAHAN ASAS


AB. Han Ramin merasmikan Kempen Amalan Senyum 2012 di Pejabat MDT, Tangkak, Johor, kelmarin.




LEDANG 1 Feb. - Majlis Daerah Tangkak (MDT) memperuntukkan RM12.3 juta pada tahun ini untuk menambah baik dan membina infrastruktur serta kemudahan awam seperti jalan raya, parit dan lampu jalan di beberapa kawasan pekan, taman dan tempat rekreasi di daerah ini.

Yang Dipertua MDT, Ab. Han Ramin berkata, daripada jumlah itu RM2.7 juta diperuntukkan di Grisek, RM3.6 juta (Kundang Ulu), RM3 juta (Tanjung Agas), RM3 juta (kawasan rekreasi di kaki Gunung Ledang).

"Projek itu akan dilakukan secara berperingkat dan ini membuktikan MDT tidak hanya menumpukan pembangunan di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar.

"Selain memberi keselesaan, projek pembangunan itu juga dapat mewujudkan persekitaran selamat misalnya penambahan tiang-tiang lampu di kawasan tertentu. Langkah itu dapat mencegah jenayah dan menghindarkan maksiat terutama di taman-taman perumahan dan tempat-tempat rekreasi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan dan pelancaran Kempen Amalan Senyum 2012 peringkat MDT di bangunan majlis itu di Tangkak semalam.

Kata Ab. Han lagi, kawasan rekreasi Gunung Ledang juga akan menyaksikan pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) selain membaiki jalan sedia ada dari Tangkak ke Gunung Ledang.

Penambahbaikan itu katanya, akan meningkatkan imej daerah ini yang terkenal dengan keistimewaan gunung itu dan juga dikenali dengan jolokan bandar tekstil.

Mengenai kawasan letak kereta terhad di bandar Tangkak untuk pengunjung ke kedai kain, beliau berkata, masalah itu sudah diatasi dengan cara meletakkan kereta di belakang barisan lot kedai kain atau berdekatan Masjid Tangkak.

Dua kawasan tersebut katanya, dikhususkan untuk tempat meletak kereta dan dari tempat itu disediakan lorong pejalan kaki sehingga ke kedai-kedai kain.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: