TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 Februari 2012

PELIK TANAH MASIH DICEROBOH

Wartawan Sinar Harian

Dr-Mahfodz-menunjukkan-tanah--kurnia-di-Rizab-Tadahan-Ulu-Sungai-Ring,-Sengkang-Batu-22,-Bukit-Gambi
Ramli-menunjukkan-resit-permohonan-bagi-mendapatkan--tanah---kurnia-di-Rizab-Tadahan-Ulu-Sungai-Ring

LEDANG – “Saya khuatir akan berlaku pertindihan dan kekeliruan dalam pengagihan kawasan tanah kurnia di sini. Walaupun sudah diwartakan sebagai tanah kerajaan, tetapi pencerobohan masih lagi berlaku,” demikian luahan salah seorang pemohon tanah kurnia di Rizab Tadahan Ulu Sungai Ring, Sengkang Batu 22, Bukit Gambir, dekat sini.

Ramli Badrol, 55, berkata, dia telah mengemukakan permohonan mendapatkan tanah tersebut sebanyak tiga kali iaitu pada 1998, 2000 dan 2002, tetapi kesemuanya gagal.

Menurutnya, dia sekali lagi membuat permohonan pada Disember tahun lalu apabila Pejabat Tanah Daerah Ledang mengeluarkan borang permohonan umum, dan permohonannya berjaya.

“Saya sangat gembira apabila permohonan kali ini berjaya, tetapi hairan mengapa tanah ini diceroboh.

“Saya juga tidak berpuas hati kerana pihak berkaitan masih belum mengeluarkan senarai mereka yang layak memiliki tetapi tanah ini sudah diteroka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ramli berkata, dia bimbang tanah itu akan terlepas kepada pihak yang tidak sepatutnya.

“Ini kerana keutamaan yang layak mendapatkan tanah ini ialah mereka yang tinggal berhampiran dan tidak mempunyai tanah,” katanya.

Hal ini kemudiannya mendorong Ramli memanjangkan masalah tersebut kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Johor merangkap Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Bukit Gambir, Datuk Dr Mahfodz Mohamed bagi membantu menyelesaikan kekusutan yang dihadapi pemohon-pemohon tanah berkenaan.

Menurut Mahfodz, tanah milik kerajaan seluas 400 hektar itu sudah diceroboh sebanyak dua kali sejak tiga tahun lalu dan terbaru pada Jun 2011.

Beliau mendakwa, pencerobohan dilakukan oleh sekumpulan individu dan mereka mengenakan bayaran deposit sebanyak RM200 kepada 350 penduduk yang menyertai ‘skim’ itu.

“Walaupun pihak berkuasa meletakan papan tanda larangan tetapi kumpulan ini tetap berdegil sehingga empat jentera berat yang mereka gunakan untuk membersihkan hutan ini disita.

“Saya difahamkan, minggu lalu kumpulan terbabit masih lagi menjalankan kegiatan pencerobohan dengan membakar hutan paya ini untuk tujuan pembersihan,” katanya.

Justeru Mahfodz meminta Kerajaan Negeri campur tangan bagi menyelesaikan masalah tersebut agar tidak berlaku kekeliruan pemilik sebenar tanah terbabit.

SUMBER: SINAR HARIAN 26 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: