PENGUNJUNG SETIA

03 Februari 2012

PENANGAN DATUK S


Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

MUAR: "Datuk S pernah memaklumkan kepada saya berkaitan hasratnya untuk 'melenyapkan' beberapa pelabur hanya kerana mereka mengetahui tembelangnya.

"Lebih menakutkan, Datuk S turut mengugut menggunakan ilmu hitam terhadap saya selepas meminta wang pelaburan dikembalikan," kata Yuriya M Yusef, 47, mangsa penipuan seorang lelaki dikenali sebagai Datuk S, yang kini sudah menghilangkan diri.

Menurut Yuriya yang melabur RM100,000 dalam perniagaan jalur lebar serta pemasaran pelbagai peringkat (MLM), Datuk S berusia 40-an, dianggap licik dan pandai memutar belit keadaan sehingga berjaya menipu ramai individu dengan hanya bermodalkan janji palsu.

Ahli perniagaan dari Taman Melawati itu berkata, dia mengenali Datuk S menerusi seorang rakan pada awal 2011 sebelum diperkenalkan kepada perniagaan berkenaan.

"Perniagaan itu turut disertai ramai ahli dari seluruh negara terutama di Lembah Klang, kumpulan kami yang disertai 10 ahli perniagaan nyaris kerugian RM1 juta kerana percayakan prospek perniagaan diperkenalkan Datuk S.

"Bagaimanapun, kami sempat menghalang transaksi berjumlah RM700,000 dan hanya kerugian RM300,000. Wang berkenaan diberikan kepada Datuk S secara berperingkat dengan setiap transaksi antara RM20,000 hingga RM30,000," katanya, semalam.

Menurut Yuriya, kumpulannya dijanjikan pulangan 16 peratus daripada dana pelaburan dilaburkan setiap 45 hari, tetapi sejak melabur tahun lalu, mereka gagal menerima sebarang pulangan.

Katanya, hasrat mereka mendapatkan semula wang berkenaan sehingga kini gagal kerana Datuk S licik selain membuat perjanjian palsu kononnya bagi pembayaran balik.

"Kami pernah mencarinya di alamat pejabat yang dinyatakan, tetapi hampa kerana ia kosong seolah-olah tidak pernah beroperasi.

"Kami menyerbu pejabat Datuk S di KLCC, tetapi terkejut kerana saiz ruangnya begitu kecil dan hanya mempunyai sebuah kerusi dan meja saja," katanya.

Kumpulan berkenaan turut pergi ke pejabat Datuk S di Cyberjaya, tetapi ia kosong malah mereka difahamkan, kebanyakan peralatan sudah diambil oleh pelabur lain yang tidak berpuas hati kerana ditipu.

"Saya kesal kerana Datuk S sanggup menipu dan membiarkan orang lain hidup menderita sedangkan dia hidup mewah," katanya.

Seorang lagi mangsa, Yusak Rajak, 47, dari Gersik, Ledang ditipu RM60,000 oleh Datuk S.

"Saya memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji ke akaun Datuk S, saya tidak sangka dia sanggup menipu kami kerana perwatakannya kelihatan budiman.

"Sejak memindahkan wang Ogos lalu, Datuk S gagal dihubungi hingga ke hari ini," katanya.

Yuriya, Yusak dan beberapa pelabur yang diperdaya Datuk S membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang pada 26 Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pengadu.

SUMBER: HARIAN METRO, 03 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: