PENGUNJUNG SETIA

10 Februari 2012

SERBU RUMAH, TAHAN 4 PENJENAYAH


JOHOR BAHRU: Serbuan polis ke atas sebuah rumah di Taman Sentosa, Tangkak, Ledang di sini, pada 1 Februari lalu, berjaya menahan sekumpulan empat penjenayah di samping tiga pucuk pistol, peluru, pedang samurai dan pisau serta syabu.


Dalam serbuan jam 3 petang itu, empat lelaki terbabit yang berusia antara 39 hingga 41 tahun dipercayai menggunakan senjata berkenaan untuk menyamun, mengedar dadah dan memecah kereta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata keempat-empat suspek melawan ketika cuba ditahan tetapi berjaya ditumpaskan.

"Hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan, kami menemui sepucuk revolver jenis Smith & Wesson, pistol semi automatik (dua pucuk), peluru (sembilan butir), pisau (tiga bilah) serta sebilah pedang samurai.

"Kami turut menemui lapan butir eramin 5 dan 1.54 gram syabu. Pistol berkenaan sudah dihantar ke makmal forensik untuk menjalani ujian balistik," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Menurut beliau, pihaknya masih menyiasat kes membabitkan kumpulan penjenayah yang beroperasi sejak berbulan lalu itu.

Mokhtar berkata, pemeriksaan mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

"Semuanya kini direman bagi membantu siasatan dan kami percaya, kumpulan terbabit turut sanggup bertindak ganas terhadap mangsa jika permintaan mereka gagal dituruti," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: