TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

18 Februari 2012

DUA BERADIK TIDAK SEKOLAH

LEDANG 17 Feb. - Dua beradik dari kampung Melepang, Sagil, dekat sini bukan sahaja ditinggalkan ibu bapa mereka, malah tidak dapat bersekolah kerana tidak memiliki sijil kelahiran.

Adik beradik malang tersebut, Mohamad Amin, 11, dan adiknya, Aishah, 10, yang kini dipelihara sebuah keluarga angkat hingga kini tidak tahu menulis serta membaca kerana tidak pernah bersekolah.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang, Nurhayati Abdul Kadir berkata, dua beradik berkenaan mempunyai sijil lahir tetapi disimpan oleh ibu mereka yang menghilangkan diri sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, penjaga kanak-kanak itu yang berusia 55 tahun memberitahu, ibu mereka membawa bersama sijil lahir kedua-dua anaknya ketika menghilangkan diri.

"Penjaga mereka pernah hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftarkan dua beradik itu, tetapi tidak dibenarkan berikutan tiada dokumen sokongan.

"Kami bimbang jika terus tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, mereka akan terabai dan tidak dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain terutama untuk mendapat pendidikan sempurna," katanya di sini hari ini.

Difahamkan, ibu bapa dua beradik itu tidak pernah menjenguk anak-anak mereka sejak menghilangkan diri dan tidak diketahui hingga kini di mana mereka berada.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai bagi mengenal pasti ibu bapa dua beradik berkenaan bagi membolehkan mereka diberi pendidikan dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Beliau berkata, nasib dua beradik itu diketahui pihaknya menerusi Talian Nur pada 9 Januari lalu yang mengatakan mereka yang dijaga seorang lelaki di kampung berkenaan tidak bersekolah dan terabai.

"Kami terus menjalankan siasatan dengan mengunjungi kanak-kanak berkenaan dan didapati memang kedua-duanya tidak bersekolah serta tidak memiliki kad pengenalan serta dokumen lain seperti rekod kelahiran," katanya.

Mereka yang mengenali ibu bapa dua beradik berkenaan boleh menghubungi JKM 06-9787725.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: