TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

02 Mac 2012

JALAN KE HUTAN LAGENDA SIAP


LEDANG: Pengunjung yang ingin mengunjungi Taman Hutan Lagenda di kaki Gunung Ledang di sini, tidak perlu lagi melalui laluan tanah merah apabila jalan utama menyambungkan Pekan Sagil ke kawasan berkenaan siap dibina sepenuhnya, 11 Februari lalu.

Pembinaan jalan sejauh 3.6 kilometer membabitkan kos sebanyak RM2.8 juta sumbangan Kementerian Pelancongan Malaysia, selain RM1.6 juta dibelanjakan sebagai wang pampasan tanah oleh kerajaan negeri.

Jalan baru yang lebih selesa itu dibina bagi menggantikan laluan lama tanah merah yang berliku dan menyukarkan pengunjung.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim berkata, dengan pembinaan jalan itu pengunjung boleh ke kawasan pelancongan berkenaan dengan lebih mudah dan selesa.

Katanya, projek pembinaan jalan itu siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan selepas peruntukan diluluskan bagi menaik taraf jalan berkenaan.

Menurutnya, taman itu dibina sejak enam tahun lalu, tetapi disebabkan tiada jalan selesa untuk dilalui, ia kurang mendapat sambutan.

"Jalan baru ini membolehkan kita mempromosi pelbagai tarikan ke taman ini seperti taman orkid, taman herba serta pakej penginapan untuk mereka yang berminat.

"Taman ini juga boleh dijadikan tempat melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti permainan 'paintball' yang semakin diminati selain berkelah.

"Bagaimanapun, untuk kegiatan mendaki ia hanya terhad kepada 150 pendaki sehari bagi menjaga ekosistem Gunung Ledang ini," katanya.

Menurutnya, peruntukkan diterima itu turut membolehkan kemudahan di taman berkenaan dinaiktaraf selain menyediakan lebih banyak parkir.

"Sebelum ini Taman Hutan Lagenda mencatatkan kehadiran kira-kira 60,000 pelawat setahun terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat.

"Namun, selepas jalan baru ini siap kami mensasarkan pertambahan orang ramai kepada kira-kira 100,000 pengunjung setahun," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 02 MAC 2012

Tiada ulasan: