TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Mac 2012

REMAJA DAKWA DITENDANG POLIS

NORSHIKIN MOHD SALLEH & NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN

spekulasi

JOHOR BAHRU – Polis telah membuka kertas siasa­tan berhubung dakwaan seorang remaja yang didakwa ditendang polis dalam satu kejadian di Taman Tangkak Jaya, Tangkak, 3 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan menerima laporan mengenai insiden terbabit dan menegaskan siasatan terperinci sedang dijalankan.

“Polis telah menerima empat laporan polis yang mana dua dibuat bapa mangsa. Saya memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara adil dan telus.

“Saya telah arahkan pasukan siasatan jenayah mempercepatkan siasatan dan dikemukakan kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, beliau berharap agar isu ini tidak dieksploitasi kerana asas ceritanya masih tidak diketahui.

Menurut beliau, pihaknya turut dilaporkan remaja tersebut baru berusia 15 tahun dan tidak memakai topi keledar ketika kejadian berlaku.

“Anggota polis yang terlibat dalam insiden itu merupakan sukarelawan polis dan turut me­ngalami kecederaan. Remaja yang cedera itu pula dirawat di sebuah hospital di Melaka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

“Jangan buat sebarang spekulasi kerana ia boleh mengeruhkan keadaan dan tunggu sehingga siasatan selesai,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kira-kira jam 5.30 petang, seorang remaja lelaki menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dan tidak mempunyai lesen memandu yang sah dari rumahnya di Taman Tiara menuju ke Taman Tangkak Jaya untuk menggunting rambut.

Ketika dalam perjalanan, remaja tersebut terserempak dua anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan dan cuba melarikan diri untuk mengelakkan daripada ditahan.

Bagaimanapun, remaja itu mendakwa motosikalnya ditendang anggota polis berkenaan sehingga terjatuh dan kepalanya cedera akibat terhantuk pada pasu bunga juga bahu jalan.

Difahamkan, remaja itu turut mengalami kecederaan lain pada badan dan kaki kanannya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Ledang, Addie Toh berkata, keadaan remaja itu dilaporkan stabil setelah menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Melaka.

Menurutnya, hasil pemeriksaan perubatan mendapati remaja tersebut turut mengalami masalah kencing berdarah dan kemungkinan kesan kecederaan pada buah pinggangnya.

“Ibu bapa remaja ini begitu kesal dengan insiden yang menimpa anaknya dan menyerahkan kes kepada Pemuda MCA untuk pengadilan.

“Kini remaja ini sudah sedar dan masih dalam keadaan lemah serta sudah boleh bercakap,” katanya.

Addie berkata, keluarga remaja berkenaan juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya juga berharap Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor juga menyiasat kes ini secara telus,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 06 MAC 2012

Tiada ulasan: