PENGUNJUNG SETIA

30 Mac 2012

RM2.8J NAIK TARAF LALUAN UTAMA PELANCONG


JALAN baru yang menghubungkan Pekan Sagil ke Taman Hutan Legenda bagi kemudahan pelancong dan orang ramai berkunjung ke taman tersebut di Ledang, Johor, semalam.


LEDANG 29 Mac - Sebanyak RM2.8 juta dibelanjakan untuk menaik taraf jalan utama dari Pekan Sagil ke Taman Hutan Legenda dekat sini yang siap sepenuhnya Februari lalu.

Projek sejauh 3.6 kilometer itu dilaksanakan menerusi peruntukan Kementerian Pelancongan serta RM1.6 juta pampasan tanah yang dibayar oleh kerajaan negeri.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Suhairi Hashim berkata, kemudahan tersebut akan membolehkan pelancong dan orang ramai mengunjungi taman berkenaan dengan lebih selesa.

"Mereka tidak perlu lagi melalui laluan tanah merah yang berliku. Orang ramai boleh datang dengan lebih mudah dan cepat berbanding sebelum ini berikutan tiada laluan bertar untuk sampai ke sini.

"Projek pembinaan jalan ini siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan selepas peruntukan diluluskan pada tahun lalu khusus untuk menaik taraf jalan dan kemudahan di kawasan ini," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, taman berkenaan dibina enam tahun lalu tetapi disebabkan tiadanya jalan yang sempurna ke situ, ia kurang mendapat kunjungan orang ramai.

Beliau yakin dengan adanya laluan baru itu akan membolehkan pihaknya mempromosikan pelbagai tarikan di taman tersebut, antaranya taman orkid, taman herba serta pakej penginapan untuk pengunjung yang ingin bermalam di situ.

Suhairi berkata, taman itu juga boleh dijadikan tempat melakukan pelbagai aktiviti dengan tarikan terbaru ialah lokasi permainan paintball yang semakin diminati ketika ini selain tempat untuk mandi-manda dan berkelah.

Menurutnya, banyak kemudahan di taman berkenaan telah dinaik taraf selain pengunjung turut disediakan tempat letak kereta luas.

"Sebelum ini kita mencatatkan kehadiran kira-kira 60,000 pelawat setahun terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Selepas siapnya laluan baru ini, kita menyasarkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung setahun.

"Mereka yang datang ke sini boleh melakukan pelbagai aktiviti sama ada melawat taman orkid, taman herba serta berkelah, namun bagi kegiatan mendaki, ia hanya terhad kepada 150 pendaki setiap hari bagi menjaga ekosistem di Gunung Ledang ini," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MAC 2012

1 ulasan:

salahuddin berkata...

nape ada roundabord kt tengah2 jln raya, sedangkn jln tadi lurus lg