PENGUNJUNG SETIA

03 Mac 2012

MISTERI MOTOSIKAL HILANG TERJAWAB

Wartawan Sinar Harian

Harun-memeriksa-lapan-motosikal-yang-dicuri-oleh-lapan-lelaki-di-sekitar-daerah-Ledang-sejak-Januari

LEDANG - Misteri kehilangan lapan motosikal di daerah itu sejak Januari lalu terjawab dengan penangkapan lapan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kesemua suspek berusia antara 16 hingga 35 tahun ditahan di lokasi berbeza di sekitar daerah Ledang.

Menurutnya, mereka ini ditahan bagi membantu siasatan lapan kes kecurian motosikal yang sering berlaku di daerah ini.

“Lapan motosikal berkenaan dilaporkan hilang antara Januari dan Februari lalu di tiga kawasan iaitu Sagil, Tangkak dan Bukit Gambir.

“Berikutan menerima banyak aduan, polis melancarkan gerakan memburu sehingga membawa kejayaan kepada penangkapan kesemua suspek,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, rentetan penangkapan itu turut membawa kepada penemuan kembali lapan motosikal yang dilaporkan hilang.

“Enam daripada lapan motosikal itu ditemui dalam keadaan elok dan dua lagi sudah pun dileraikan.

“Polis percaya, kesemua lapan kes kecurian motosikal ini hanya membabitkan individu dan bukannya sindiket tertentu,” katanya.

Harun berkata, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 379 A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya lagi, sehingga dua bulan pertama tahun ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang menerima 41 laporan kehilangan motosikal.

“Kebanyakan motosikal yang hilang didapati dicuri di kawasan tempat kenderaan terbuka.

“Kami giat menjalankan operasi termasuk mengadakan sekatan jalan raya dan rondaan di kawasan yang dikenal pasti bagi mengesan semula motosikal yang hilang,” katanya.

Harun berkata, polis meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan meninggalkan motosikal dalam keadaan berkunci.

Pada masa sama katanya, ibu bapa diminta supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti mencuri motosikal.

SUMBER: SINAR HARIAN, 3 MAC 2012

Tiada ulasan: