PENGUNJUNG SETIA

14 Mac 2012

PENDUDUK SG MATI BIMBANG JALAN 'RISIKO TINGGI'

Wartawan Sinar Harian

Jalan risiko tinggi

LEDANG – “Setiap kali guna jalan ini, saya terpaksa perlahankan kenderaan kerana bimbang kereta rosak berikutan keadaan jalan yang berlopak dan tidak berturap,” kata Roslin Samad, 45, pengguna jalan di Kampung Pulau Penarik, Sungai Mati, di sini.

Katanya, disebabkan keadaan jalan di situ juga, tayar kereta milik rakannya juga pernah bocor akibat terlanggar batu.

“Kejadian ini berlaku pada waktu malam dan mujur rakannya sempat pulang ke rumah untuk gantikan tayar yang bocor. Sebagai pengguna tetap jalan ini, saya juga berasa tidak selesa semasa menggunakan jalan ini kerana strukturnya yang tidak rata,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, jalan yang dipercayai rosak sepanjang 500 meter itu menghubungkan laluan ke Taman Serom Utama yang dihuni lebih 1,000 penduduk.

“Dianggarkan kira-kira 200 penduduk setiap hari akan menggunakan jalan ini untuk menghantar anak-anak ke sekolah berhampiran juga ke tempat kerja. Bagi pemandu atau penunggang motosikal yang melalui jalan ini buat pertama kali, risiko untuk mereka terbabit dalam kemalangan memang sangat tinggi sebab mereka tak arif dengan struktur jalan di sini,” katanya.

Roslin berkata, selagi boleh dia akan cuba mengelak untuk melalui jalan tersebut lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana tak nampak dengan jelas keadaan jalan yang sebenarnya.

“Saya anggap keadaan jalan yang sudah beberapa kali diturap semula ini mungkin rosak akibat limpahan air dari parit berhampiran yang memasuki jalan setiap kali hujan lebat hingga menyebabkan jalan menjadi lembap, lalu mudah rosak. Mujur kenderaan berat tidak menggunakan jalan ini, jika tidak keadaan rosak yang sedia ada ini akan bertambah teruk,” katanya.

Katanya lagi, dia ada mengajukan aduan tersebut kepada pihak berkenaan berhubung masalah tersebut dan sudah mendapat maklum balas yang positif.

“Saya meminta jasa baik pihak tersebut agar dapat menyegerakan kerja-kerja turap jalan ini bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 14 MAC 2012

Tiada ulasan: