TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

25 Disember 2012

EKSPEDISI SAINTIFIK TEMUI SPESIES BAHARU TUMBUHAN, KATAK

LEDANG 24 Dis. - Dua spesies baharu tumbuhan dan katak ditemui hasil Ekspedisi Saintifik Endau-Rompin Trans Selai-Peta 2012 yang dijalankan baru-baru ini.

Penemuan berkenaan akan dipaparkan dalam jurnal saintifik dan diketengahkan ke peringkat dunia supaya kajian lebih lanjut dapat dilakukan untuk mengenal pasti kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di hutan negara ini.

Pegawai Penyelidik Perbadanan Taman Negara Johor, Lili Tokimin berkata, ekspedisi anjuran bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia itu turut disertai pelbagai pihak termasuk universiti tempatan.

Katanya, hasil ekspedisi tersebut, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menemui dua spesies baharu daripada keluarga halia serta tumbuhan renek yang pertama kali ditemui di dunia.

"Spesies ini adalah Scaphochlam Ys Sp yang ditemui di Sungai Marong iaitu kali pertama ditemui. Turut ditemui satu spesies endemik dinamakan Thottea Praetermissa di kawasan Upeh Guling dekat Taman Negara Endau Rompin.

"Selain itu spesies orkid hutan yang sebelum ini hanya pernah ditemui di Sumatera juga dijumpai. Orkid dari spesies Phalaennopsis Zebrina itu pertama kali ditemui di Semenanjung Malaysia," katanya ketika ditemui selepas Seminar Penemuan Saintifik Ekspedisi Endau Rompin Trans Selai-Peta 2012 di Taman Negara Gunung Ledang di sini kelmarin.

Lili berkata, ekspedisi berkenaan turut menemui satu spesies baharu katak di taman negara berkenaan dari keluarga Rana Picturata berwarna hitam dan berbintik kuning.

Katanya, kesemua penemuan flora dan fauna terbabit adalah di kawasan Taka Kunyit dekat Taman Negara Endau-Rompin dan kajian saintifik pada Julai lalu itu dibentangkan dalam seminar tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan dalam seminar berkenaan oleh penyelidik dari pelbagai universiti tempatan dan usaha akan diteruskan untuk mengenal pasti spesies baharu dan langkah untuk terus memeliharanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: