TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

12 Disember 2012

MANGSA WANG PALSU RM100

Wartawan Sinar Harian
Mangsa wang palsu RM100
Rahmah menunjukkan perbezaan wang kertas RM100 palsu (kanan) dengan wang sebenar (kiri).

LEDANG – Lebih tiga peniaga kedai makan di Kampung Batu 20, Sengkang, Bukit Gambir, tidak menyangka menjadi mangsa penipuan wang palsu RM100 oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pelanggan.

Salah seorang mangsa, Rahmah Khamis, 57, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi, Rabu lalu, apabila didatangi seorang wanita yang tidak dikenali ingin membeli tiga bungkus nasi lemak dan lontong di kedai makannya.

Menurutnya, kesemua makanan itu berharga RM11, tetapi wanita terbabit menyerahkan wang kertas RM101.

“Sebaik sahaja memulangkan wang baki berjumlah RM90 kepadanya, saya terus menyimpan wang kertas RM100 itu dalam laci.

“Wang kertas RM100 ini kelihatan sangat baru menyebabkan saya tidak mengesyaki ia wang kertas palsu, tambahan pula ciri-ciri pada wang palsu berkenaan hampir sama dengan wang kertas sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

Rahmah berkata, dia kemudiannya memaklumkan kepada anaknya mengenai wang tersebut, sebaliknya anaknya mengatakan kemungkinan wang itu palsu kerana sebelum ini berlaku banyak kes penipuan membabitkan wang kertas RM100.

“Kebetulan ketika itu ada pelanggan yang mempunyai wang kertas RM100 sebenar dan setelah meneliti wang tersebut mendapati ia palsu.

“Selain saiz wang yang kecil sedikit, gambar Yang di-Pertuan Agong tidak kelihatan jika dihalakan ke arah cahaya dan jalur keselamatan pula tidak memantulkan cahaya apabila di bawah cahaya lampu atau matahari,” katanya.

Tambahnya, dia hanya lihat wanita terbabit memakai tudung, bercermin mata dan menaiki kereta jenis proton yang di dalamnya terdapat  dua kanak-kanak dan seorang wanita warga emas.

“Sehari kemudian, rakan saya yang berniaga kedai makan turut menjadi mangsa wanita berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, dia bimbang lebih ramai yang akan menjadi mangsa penipuan wang kertas itu yang kemungkinan didalangi pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

“Saya mendedahkan perkara ini kerana mahu orang ramai terutamanya peniaga supaya lebih berwaspada apabila menerima wang kertas RM100 daripada pelanggan agar tidak ditipu pihak yang sengaja mencari keuntungan dengan cara mudah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Harun Idris berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut minggu lalu.

“Setakat ini, identiti suspek belum dapat dikenal pasti, dan  gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: