PENGUNJUNG SETIA

18 Disember 2012

HASRAT MILIKI PUSAT AKTIVITI TERCAPAI

Hamim menandatangani plak perasmian Pusat KRT Taman Sri Ledang.
[FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/BH]

Tangkak: Penantian Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Ledang, di sini selama 10 tahun bagi mendapatkan tapak menempatkan pusat aktiviti akhirnya tercapai.

Pengerusinya, Salleh Isnin, berkata adanya kemudahan itu, pelbagai aktiviti dapat dijalankan termasuk mesyuarat, kegiatan kemasyarakatan dan pusat Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Katanya, sebelum ini, aktiviti KRT seperti mesyuarat terpaksa diadakan secara bergilir-gilir dari taman ke taman berikutan tiada pusat setempat.

“KRT Taman Sri Ledang dulu dikenali sebagai KRT Tangkak C menaungi enam taman perumahan sekitarnya Taman Sri Ledang, Intan, Mahkota, Sialang 1, Sialang 2 dan Sialang 3.

“Kami bersyukur kerana hasrat mendapatkan tapak menempatkan pusat aktiviti KRT Taman Sri Ledang akhirnya tercapai demi kemudahan kira-kira 1,200 penduduk di kawasan ini.

Pupuk semangat kejiranan

“Melalui KRT ini, semangat kejiranan dan perpaduan antara penduduk dapat dijalin terutama bekerjasama dalam menjalankan aktiviti yang dirancang,” katanya pada program Karnival Jom KRT Taman Sri Ledang di padang permainan Taman Intan, Tangkak.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri menyempurnakan perasmian Pusat KRT dan karnival berkenaan. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; wakil Pejabat Perpaduan Daerah Ledang; Juhelmee Keman dan wakil Majlis Daerah Tangkak (MDT), Muhammad Sidek Arasu Abdullah.

Salleh berkata, kos pembinaan pusat aktiviti bernilai RM25,000 mendapat peruntukan daripada Menteri Besar, Datuk Abd Ghani Othman, Hamim dan Tee Tee.

Adakan pelbagai aktiviti

Katanya, pelbagai aktiviti diadakan membabitkan semua peringkat umur dan kaum pada program Karnival Jom KRT Taman Sri Ledang itu.

Katanya, program julung kali diadakan itu berjaya menarik penduduk menyertai pertandingan memancing; mewarna kanak-kanak; gubahan bunga dan masakan selain pemeriksaan kesihatan serta pameran beberapa agensi.

SUMBER: BH JOHOR, 18 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: