PENGUNJUNG SETIA

01 Disember 2012

PENDUDUK TERTEKAN DIHURUNG LALAT

Wartawan Sinar Harian

Lalat hurungi
Lian Hua menyapu lalat yang berteraburan di lantai rumahnya.
 
LEDANG - Hampir 300 penduduk di Taman Pulai Utama dekat Serom di sini, tertekan apabila dibelenggu masalah lalat yang serius sejak tiga minggu lalu.

Penduduk, Tio Lian Hua, 51, berkata, kehadiran lalat yang terlalu banyak menyebabkan kehidupan mereka menjadi tidak tenteram kerana bimbang ia akan menjejaskan kesihatan.

Menurutnya, urusan harian juga terganggu kerana mereka lebih berhati- hati terutama semasa menyediakan makanan bagi mengelakkan makanan dikerumuni lalat.

“Kami juga terpaksa tutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa bagi mengelakkan lalat memasuki rumah selain mengurangkan pencemaran bau busuk,” katanya.

Suri rumah, Zuriyana Kamiso, 28, berkata, dia berasa hairan apabila gangguan lalat kali ini lebih lama berbanding kebiasaannya iaitu satu hingga dua minggu sebelum ini.

“Kehadiran lalat semakin banyak terutamanya selepas waktu hujan, sehinggakan lantai dalam rumah dipenuhi lalat.

“Saya ada cuba menggunakan pelbagai alatan termasuk semburan dan kertas pelekat untuk mengusir lalat tetapi tidak berjaya, malahan lalat semakin bertambah,” katanya.

Zuriyana berkata, kadang-kadang dia malu dengan keluarganya yang datang ke rumah apabila melihat mereka seperti tidak selesa kerana makanan dihidangkan dihurungi lalat.

Sementara itu, Pegawai Veterinar Ledang, Pauzan Kasni ketika dihubungi berkata, pihaknya mengakui menerima aduan berhubung masalah tersebut sejak seminggu lalu.

Menurutnya, usaha untuk membasmi lalat sedang giat dilakukan dengan menggunakan kaedah semburan bahan kimia di bawah reban, pagar dan pokok berhampiran kawasan ternakan untuk membunuh lalat serta larva.

“Kaedah umpan juga digunakan dengan meletakkan pelekat yang mengandungi bau seperti buah-buahan sebagai tarikan untuk memerangkap lalat di kawasan ternakan dan rumah penduduk berhampiran.

“Memang akan berlaku masalah banyak lalat terutamanya ketika dalam tempoh pembesaran sehingga ayam tersebut dijual,” katanya.

Beliau berkata, tinjauan pihaknya ke kawasan ternakan tersebut, semalam, mendapati kesemua ayam ternakan sudah dijual dan selepas ini kerja-kerja membuang najis ternakan akan dilakukan.

“Kita jangka masalah ini akan selesai tidak lama lagi sebaik saja kawasan ternakan memulakan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 01 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: